Oleh Wan Ji Wan Hussin
Dalam laporan berita, 2 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR ditamatkan perkhidmatan mereka dalam GLC kerajaan Pulau Pinang.
Dilaporkan juga, penamatan itu punyai kaitan sikap berkecuali mereka
daripada mengundi
menentang usul Umno untuk menghentikan semua projek
penambakan di Pulau Pinang sewaktu sidang Dewan Undang Negeri (DUN)
pada November lalu.
Kesan daripada berita ini, berlaku
serangan balas daripada pihak PKR yang dikepalai timbalan presiden, dan
disambut sebilangan pimpinan tertinggi dalam AMK.
Dari sudut pandangan penyokong Pakatan Harapan,
kejadian sebegini bukan perkara yang selesa. Terutama, melihat
perpecahan Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini berpunca daripada peperangan
media antara parti-parti dalam PR tanpa berjaya diselesaikan dalam
mesyuarat ekoran keegoan setiap wakil parti untuk atasi perbezaan
secara matang.
Kerosakan yang berlaku tidak wajar berulang kembali.
Justeru, perbezaan yang melahirkan pertembungan perlu diatasi dalam
mesyuarat Pakatan Harapan, bukan melalui serangan media.
Pihak
setiap parti perlu menampilkan sifat yang matang dan sikap berjiwa
besar dan berhujah berdasarkan kebijaksanaan sehingga melahirkan
keputusan yang matang dan ternyata memberi kebaikan kepada rakyat.
Jika pihak parti-parti dalam Pakatan Harapan tidak bertindak sebegini,
walaupun kegagalan seperti PR dahulu mungkin tidak berulang kembali,
kebimbangannya rakyat yang melihat akan melahirkan perasaan meluat
kepada gabungan ini. Sudah pasti, ia tidak menguntungkan kepada Pakatan
Harapan juga.
Setiap pimpinan parti perlu ingat,
cukup-cukuplah angkuh dan ego dalam permainan politik. Yang paling
penting, usahalah agar tindakan memberi kebaikan kepada rakyat, bukan
sebaliknya.