Semua 16 pusat mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan
Negeri (Dun) Tanjong Datu mula dibuka tepat 8 pagi ini bagi membolehkan
9,771 pengundi menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), daerah Lundu mempunyai
pengundi paling ramai berjumlah 1,906 orang yang akan menunaikan
tanggungjawab masing-masing di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua.
Daerah Perigi mencatatkan bilangan pengundi paling sedikit iaitu 171 pengundi.
PRK Tanjong Datu diadakan susulan kematian penyandangnya, yang juga
Ketua Menteri Sarawak kelima, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, akibat
komplikasi jantung pada 11 Jan lalu, di Pusat Jantung Sarawak, Kota
Samarahan.
PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan
Nasional (BN) Datuk Amar Jamilah Anu, yang merupakan balu Adenan, calon
Parti Reformasi Negeri Sarawak (Star), Johnny Aput dan calon Parti Bansa
Dayak Sarawak (PBDS) Baru, Rapelson Richard Hamit.
Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 Mei lalu menyaksikan Adenan, 72,
memperoleh 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan
majoriti 5,892 undi.
Tinjauan awal Bernama mendapati proses pengundian pagi ini dilihat
berjalan lancar meskipun hujan renyai sejak awal pagi tidak menghalang
pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.
Tinjauan di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua mendapati beberapa pengundi telah berada di pusat pengundian seawal 7.30 pagi.
Turut kelihatan Rapelson yang turut hadir bersalaman dengan para pengundi di sekolah berkenaan.
Sebelum ini, seramai 188 pengundi, atau 1.9 peratus daripada 9,959
pengundi, menunaikan tanggungjawab mengundi di dua pusat pengundian awal
yang dibuka pada 12 Feb lepas.
SPR menjangka keputusan PRK Tanjong Datu dapat diperoleh seawal pukul 8 malam ini