Oleh Alyaa Azhar
Seorang wakil dari sayap penyokong parti PAS percaya bahawa orang
bukan Islam yang menentang rang undang-undang (RUU) Presiden PAS, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang adalah jahil.
Ketua Penerangan Sayap Penyokong PAS, Dr Balachandran G Krishnan,
dalam ucapannya di ceramah pra-perhimpunan Akta 355, berpendapat bahawa
memperkasakan mahkamah syariah tidak seharusnya menjadi satu isu untuk
rakyat Malaysia.
"Yang menjadi masalah adalah, anggota Parlimen Islam yang membantah
RUU 355 dan orang Islam munafik yang melawan RUU 355. Itulah masalahnya,
itu yang merumitkan keadaan," katanya di majlis itudi Gombak malam
tadi.
Akibatnya, tegas beliau, orang bukan Islam telah menjadi keliru.
"Tapi saya tidak keliru kerana saya ditarbiahkan pimpinan PAS, lain
dari yang lain," katanya disambut laungan 'Allahuakbar' dari hadirin.
"Orang bukan Islam yang tidak sokong RUU 355 itu bukan menjadi masalah sebab mereka memang jahil," katanya.
Sebab itu, kata Balachandran, Orang Islam wajib bersatu dalam mendaulatkan Islam
"Orang Islam harus mendekati mereka yang membantah (RUU 355) dengan
kasih dan sayang dan terus memberi penerangan secara khusus untuk
sedarkan mereka bahawa menjadi tanggungjawab orang islam untuk
mengabdikan diri mereka dan reda dengan kehendak Allah," tambahnya.
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan, yang menjadi moderator di
majlis itu malam tadi, bersetuju bahawa penentangan terhadap RUU itu
berpunca daripada kurang pemahaman mengenainya.
Perhimpunan Akta 355 yang dianjurkan oleh PAS dan 10 NGO lain akan
bermula jam 2 petang ini dan dijangka berterusan sehingga 11 malam.
Perhimpunan itu adalah untuk menyokong RUU Ahli Persendirian yang
dibawa oleh Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) 1965, yang lebih dikenali sebagai Akta 355, yang akan
membolehkan mahkamah syariah mengenakan hukuman yang lebih keras
terhadap pesalah.
Semalam, Hadi berkata, lebih 200,000 orang dijangka menghadiri
perhimpunan itu, termasuk bukan Islam yang menyokong rang undang-undang
tersebut.
Perhimpunan itu akan mempunyai beberapa aktiviti seperti sesi soal
jawab dengan penceramah dan ucapan dari wakil NGO dan -wakil kerajaan,
dan juga dari Hadi sendiri.