DenyutReformasi

Pemuda Amanah: Struktur semula jawatan eksekutif, bukan buang penjawat awam

Tumpuan harus diberikan terhadap gesaan agar kerajaan BN agar melakukan penstrukturan ke atas jawatan-jawatan eksekutif kerajaan persekutuan berbanding mengecilkan saiz perkhidmatan awam.
Ketua Pemuda Amanah Nasional Mohd Sany Hamzan berkata, jabatan-jabatan yang dilihat kurang berperanan seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) juga perlu dimansuhkan kerana kerajaan telah terbeban untuk menampung pengoperasiannya.


"Penasihat dan duta khas bertaraf menteri juga sewajarnya dimansuhkan kerana ia menanggung pembelanjaan yang besar disamping pertindihan tugasan dengan kementerian berkaitan seperti SPAD dan Kementerian Pengangkutan," katanya dalam satu kenyataan.

Gesaan agar kerajaan mengecilkan saiz perkhidmatan awam dibuat oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Sheriff yang khuatir ia menimbulkan masalah kepada kewangan negara.

Hal itu bagi mengelak Malaysia daripada terjerumus ke dalam krisis kewangan seperti yang berlaku di Greece.

Menurut Sany, tidak sewajarnya nasib penjawat awam diperjudikan demi menampung kegagalan kerajaan Umno-BN apatah lagi rata-rata penjawat awam berhadapan dengan masalah kos sara hidup yang tinggi.

"Cadangan yang dilontarkan itu menzahirkan bahawa kewangan Malaysia dalam keadaan yang tenat dan mendorong kerajaan melakukan tindakan-tindakan drastik termasuklah mengurangkan penjawat awam.

"Sewajarnya kerajaan memikirkan kaedah untuk menyelesaikan masalah, bukannya memindahkan masalah tersebut kepada rakyat yang tidak bersalah," katanya.