Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz membayangkan
persaingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, hampir
pasti.
Beliau berkata kenyataan terbaru Pengerusi Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak sujud di kaki PAS
telah menyudahkan secara tidak rasmi teka-teki hubungan politik antara
kedua-dua parti itu.
"Persaingan tiga penjuru dalam politik Malaysia hampir pasti berlaku.
Blok ketiga atau Gagasan Sejahtera (GS) yang diwujudkan oleh PAS dan
Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) semakin jelas akan beraksi dengan
kekuatannya sendiri sebagai pilihan untuk rakyat Malaysia berhadapan
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan," katanya dalam entri di laman
Facebooknya kelmarin.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ditemui pemberita
selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila, Kuala Terengganu, semalam
mengulangi pendirian tidak akan bekerjasama dengan PPBM jika parti itu
menjalin hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Menurut Abdul Hadi, keputusan itu adalah muktamad selaras dengan garis panduan yang ditetapkan PAS sebelum ini.
Nik Mohamad Abduh berkata kekuatan PAS untuk bergerak sendiri memimpin
blok ketiga menyebabkan DAP, Amanah, PKR dan PPBM berterusan menyerang
PAS dan mengaitkannya sebagai sekutu Umno.
Menegaskan Umno kekal sebagai musuh tradisi parti itu dalam politik, PAS
bagaimanapun menyifatkan politik DAP adalah lebih berbahaya.
"PAS mengingatkan rakyat bahawa politik DAP adalah bahaya untuk negara.
Rosak negara adalah kerana Umno membangunkan negara dengan tiang-tiang
sekular sejak lama. Akhirnya ia merapuh dan dimakan anai-anai.
"DAP datang dengan tiang-tiang baru dengan tahap sekular yang berganda
sepuluh. Ia jelas akan menambahkan kehancuran negara dalam kealpaan
rakyatnya nanti. PAN adalah contoh awal kealpaan yang nyata. Amat
malang," tulis beliau.
- Bernama