DenyutReformasi

Malaysia Baharu tetapi sejarahnya lama

Oleh PROF MADYA MOHD AFANDI SALLEH

Kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14 yang lalu telah mencipta satu fenomena di mana semua bercakap dan melihat Malaysia yang berbeza dari perspektif yang sebelumnya.

“Malaysia Baharu” telah menjadi satu istilah yang popular untuk menandakan era pentadbiran lama yang penuh korup dan skandal telah berakhir.

Reformasi sistem telah dilakukan di peringkat tertinggi pentadbiran kerajaan dan secara beransur mula mengambil tempat di setiap peringkat.

“Malaysia Baharu” adalah istilah yang positif, namun keterbukaan dalam mendefinisikan Malaysia Baharu tanpa kerangka dan sudut pandang yang betul telah membawa kepada salah faham dan tindakan yang mengelirukan terutama di kalangan bukan Melayu.

Saya berpendapat kaum bukan Melayu terutama kaum Cina dan India umumnya melihat Malaysia dalam dua perpektif.

Pertama, ‘Malaysia Baharu 1.0’ yang bermula semasa Pra Kemerdekaan dan Pasca Kemerderkaan. Di peringkat ini, kaum Cina dan India percaya bahawa mereka turut sama berperanan memperjuangkan kemerdekaan negara dan membina kemakmuran negara. Ia mulanya dicapai melalui pentadbiran Perikatan, iaitu gabungan parti politik perbagai kaum yang dianggotai oleh tiga parti besar berteraskan kaum iaitu Umno, MCA, dan MIC. Pasca kemerdekaan menyaksikan penglibatan yang aktif terutamanya kaum Cina dalam memakmurkan ekonomi negara.

Walau bagaimanapun, pemerintahan negara yang dipegang terlalu lama oleh Barisan Nasional yang diketuai oleh Umno, pentadbiran lama ini masih dilihat menekan kaum bukan Melayu terutama melalui dasar dasar yang melibatkan pendidikan dan ekonomi.

Peringkat kedua pula ialah selepas PRU14 di mana kaum Cina dan India merasakan mereka adalah antara penyebab utama berlakunya perubahan pemerintahan dan terbentuknya ‘Malaysia Baharu 2.0’.
Pada orang bukan Melayu, mereka merasakan peranan mereka cukup besar dan signifikan. Tanpa mereka negara masih akan ditadbir oleh rejim kleptokrasi pimpinan Najib Tun Razak dan Malaysia bentuk ‘lama’ akan kekal.

Justeru, terma “Malaysia Baharu” muncul selepas PRU14 dan ia dipopularkan dalam semua media. Bukan Melayu melihat secara optimistik bahawa Malaysia Baharu tidak lagi akan didominasi dengan nilai-nilai lama yang banyak berlatar belakangkan tradisi dan budaya Melayu.

Dalam erti kata lain, kaum bukan melayu juga cuba mengenepikan nilai sejarah dalam mendefinisikan “Malaysia Baharu”. Sebagai contoh, dalam isu kuota Melayu dan Bumiputra di matrikulasi dan tulisan jawi, kaum bukan melayu begitu proaktif bersuara. Isu tulisan khat Jawi yang masih lagi hangat memaparkan kaum bukan Melayu menentang pengenalan tulisan ini yang menjadi warisan bangsa sejak berabad lamanya di Tanah Melayu. Pertubuhan berkaitan pendidikan kaum cina, Dong Zong secara keras menolak pengenalan tulisan Khat Jawi dan terus menerus menekan Kementerian Pendidikan untuk mengubah polisi ini.

Ahli parlimen DAP, Charlas Santiago turut menjaja istilah Malaysia Baharu yang baginya setiap dasar di kementerian harus inklusif dalam mengkritik Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek berhubung isu ini. Ini seolah mengambarkan kaum bukan Melayu begitu tegar dalam menidakan nilai sejarah dalam dalam mendefinasi Malaysia Baharu versi mereka.

Mungkin bagi orang bukan melayu, nilai sejarah Tanah Melayu tidak penting dan mereka mempunyai memori kolektif yang berbeza dengan orang melayu.

Orang Melayu melihat “Malaysia Baharu” tidak pernah terputus dengan sejarah Tanah Melayu dan kewujudan Malaysia hari ini adalah penerusan sebuah kerajaan yang telah bermula ratusan tahun dahulu yang melalui episod panjang disulami suka duka, bangga dan kecewa.

Kaum Melayu melihat sejarah pembinaan negara bukan hanya pada era Pra Kemerdekaan yang termeterainya permuafakatan parti-parti berasaskan kaum dan kontrak sosial mereka.

Bagi Melayu, memori kolektif mereka antaranya adalah seperti himpunan perjanjian Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun yang memaknakan hubungan ketaatan rakyat dan amanah Raja, penerimaan Islam yang menukar lanskap politik dan sosial Melayu, perang melawan Portugis dan seterusnya siri-siri perjuangan membebaskan tanah air hinggalah kegembiraan di saat menyambut kemerdekaan.
Memori kolektif dan titik masa dalam minda orang Melayu tidak pernah terputus, malah terus bersambungan hinggalah ke era Pasca PRU14 yang membentuk ‘Malaysia Baharu’.

Berbeza dengan kaum bukan melayu yang mana memori kolektif mereka berlegar di sekitar peristiwa singkat Pra Kemerdekaan, perasaan bangga mereka yang memakmurkan ekonomi Malaysia tetapi menuduh banyak hak-hak mereka sebagai rakyat Malaysia dinafikan dan seterusnya merasakan merekalah penyebab utama tumbangnya rejim BN.

Sebolehnya, kaum bukan Melayu ingin mengubah terus identiti Malaysia kepada sebuah negara yang berbeza dengan yang lampau. Sedangkan, Konsep Malaysia baharu seharusnya dilihat usaha membebaskan negara dari pentadbiran yang penuh kebejatan dan korupsi, bukannya membentuk sebuah negara baru yang tiada sejarah masa lampau yg panjang dan bertukar identiti.

Harus diingat, Malaysia Baharu tidak boleh sekali-kali lari dari 4 perkara penting sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan negara iaitu kedudukan istimewa orang melayu dan bumiputra Sabah Sarawak, Raja-Raja Melayu , Islam sebagai Agama Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Dengan 4 perkara ini adalah identiti dan teras utama Negara yang tidak boleh disentuh oleh mana mana pihak sekalipun jolokan Malaysia Baharu ditafsirkan dengan begitu liberal.

Kaum bukan melayu sepatutnya tidak terlalu dilihat gopoh dalam melakar Malaysia Baharu, jangan kerana kegilaan membentuk negara pasca PRU14 sehinggakan mengabaikan aspek sensitif yang sangat penting kepada orang melayu, sikap terlalu lantang dalam mencabar tradisi dan sejarah, bakal menjadi mimpi ngeri kepada mereka sekiranya berlaku kebangkitan secara total dalam kalangan pengundi Melayu ditambah dengan kerjasama Pas-Umno yang memungkinkan Pakatan Harapan ditolak oleh majoriti orang melayu.

Bagi pemimpin Melayu pula, sewajarnya isu Malaysia Baharu ditangani dengan cermat agar tidak dilihat rasis dan xenophobik terhadap kaum lain. Dalam masa yang sama tidak boleh apologetik untuk menurut segala tindak balas bukan Melayu terhadap nilai-nilai tradisi Tanah Melayu.

*Penulis adalah Timbalan Naib Canselor (HEPA) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)