DenyutReformasi

‘Masih ada profesional Melayu tidak sanggup jadi tali barut kepada penyangak’

Oleh A Kadir Jasin

Kalau orang Melayu kenal diri dan mengamalkan ciri-ciri bangsa dan agama mereka maka jadilah mereka insan yang unggul, iaitu seorang yang berbudi kerana dia Melayu dan beriman kerana dia Muslim.

Insan budiman kerana berbudi dan beriman. Tetapi maaf cakaplah kalau saya ulang sebut bahawa sangat banyak Melayu hari ini yang palsu budi dan imannya.

Bangsa sekadar slogan politik dan agama bahan peragaan untuk dihebahkan melalui tampalan media sosial.

Walaupun semakin ramai Melayu berpendidikan tinggi tetapi ramai tidak kenal diri. Mereka menjadi hamba kepada kejahilan dan kemiskinan, feudalisme dan kebergantungan.



Akibatnya banyak usaha murni untuk membawa kebaikan kepada bangsa Melayu dan agama Islam, khususnya dan negara, amnya bukan saja menjadi sia-sia malah ditentang habis-habisan.

Cerita Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dinyahkan daripada jawatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas dan Abdul Jalil Rasheed daripada kerusi yang sama di Permodalan Nasional Berhad (PNB) adalah petanda kehilangan budi dan iman orang Melayu.

Orang Melayu yang diuar-uarkan sebagai sabar dan bertolak ansur sedang dihasut supaya mengamuk atas nama maruah Melayu dan pemerintahan Melayu-Islam.

Lebih malang bagi ahli profesional Melayu, kaki pukul (hatchetman) yang dihantar untuk membelasah mereka adalah teknokrat Melayu sendiri.

Maaf cakaplah, kalau saya kata bahawa dalam konteks ini, Menteri Kewangan, Senator Tengku Zafrul Abdul Aziz, perlu menilai dirinya sendiri kerana besar kemungkinan beliau kini menjalankan peranan itu.

Wan Zulkiflee ditunjukkan pintu keluar kerana mempertahankan hak Petronas daripada dijadikan pertaruhan dalam perjudian politik Muhyiddin untuk mendapat sokongan elit politik Sarawak dan mungkin juga selepas ini, Sabah.

Saya akan menyebut hanya satu kes dulu kerana ia sudah pun dibincangkan secara meluas sejak 2017 lagi. Yang lain itu, tunggu dulu. Kita tengok apa pengganti Abdul Jalil akan buat.

Kes ini adalah berkaitan penjualan sebidang tanah kerajaan seluas 19.14 ekar berhampiran Istana Negara kepada Jakel Land Sdn Bhd dengan harga RM646 juta atau 22 peratus di bawah harga yang diiklankan.

Kita semua tahu bahawa Jakel adalah syarikat anak emas zaman Mohd Najib. Baru-baru ini ia menjadi berita besar apabila salah seorang adik beradiknya menuduh “orang Melayu tak pandai baca”.

Apa kena-mengena Jakel dengan PNB? Jakel Land Sdn Bhd adalah perkongsian sama rata di antara Jbiz Development Sdn Bhd (mewakili Jakel) dengan Symphony Life Bhd dan PNB.

Namun, saya masih ada sedikit keyakinan bahawa masih ada sebilangan kecil Melayu profesional yang tidak sanggup menjadi tali barut kepada pencuri dan penyangak.

Di sanubari mereka tersemat nilai murni untuk melakukan kebaikan kepada negara dan rakyat jelata.