DenyutReformasi

SPM, Alahai Ciput Upahnya…

Posted on Tuesday, December 21 @ 06:04:40 PST by reformis

Oleh Komplen Sokmo

20 Disember 2010 merupakan hari merdeka bagi semua pelajar tingkatan 5 yang telah menduduki peperiksaan SPM yang bermula sejak 23 November yang lalu. Bagi mereka, hari-hari mendatang adalah hari kebebasan dan kini mereka boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu lagi untuk memikirkan tentang ujian.

Namun bagi saya sebagai seorang guru DG41 merangkap pengawas peperiksaan dan rakan-rakan yang lain, tarikh itu bukanlah tarikh yang bererti buat kami. Ini kerana pengorbanan yang dicurahkan sejak hari pertama bertugas hingga hari terakhir tidak mendapat imbalan atau upah yang sepatutnya daripada pihak berwajib.

Etika perguruan seperti sifat amanah, integriti, bersyukur dan ikhlas sememangnya menjadi tonggak utama dan amalan murni penjawat awam di setiap masa, tetapi adakah disebabkan oleh keterikatan itu, kami terpaksa mengorbankan segalanya tanpa mendapat perhatian yang sewajarnya.

Apakah cukup di pihak kami untuk menyemai sifat sedemikian sedangkan di pihak kerajaan ia hanyalah omong-omong kosong. Bak kata orang "menyuruh orang berbuat ikhlas tetapi kita sendiri yang culas". Apa yang saya maksudkan di sini, imbalan atau upah yang diberikan seolah-olah tidak ikhlas atau dalam erti kata lain "beri macam tak beri". Sebab itulah terdapat di kalangan pengawas yang enggan menuntut semua elaun memandangkan apa yang diberi tidaklah setimpal dengan apa yang telah dicurahkan.

Bayangkan upah untuk seorang pengawas sepanjang peperiksaan berlangsung hanyalah sekadar RM225.00. Sudahlah elaun setiap sidang hanya diberi RM1, tuntutan perjalanan juga kalau boleh dipotong atau ditiadakan langsung ianya amat digalakkan atau “pencapaian” ke arah meminimakannya amat-amat “diutamakan”. Mekanisma yang digunapakai dalam menentukan jarak tuntutan itu adalah lokasi yang paling dekat iaitu sama ada rumah atau sekolah yang mana lebih hampir dengan Pusat Peperiksaan tanpa mengambil kira jarak perjalanan yang harus ditempuh oleh pengawas ke Pusat Peperiksaan itu.

Dimanakah keadilan sekiranya seorang guru bertolak dari rumah seawal pagi ke Pusat Peperiksaan yang jauhnya 20KM dan dalam masa yang sama jarak sekolahnya pula dengan Pusat Peperiksaan tersebut 5KM, guru tersebut hanya boleh membuat tuntutan perjalanan 5KM sahaja iaitu dari sekolah ke Pusat Peperiksaan. Dalam kes lain tetapi sama, terdapat dalam beberapa hari guru tersebut juga diminta untuk mengiringi Ketua Pengawas ke Bilik Kebal untuk mengambil soalan yang jaraknya dengan sekolah 3KM, tuntutan yang boleh dibuat hanyalah 3KM walaupun perjalanan yang dilakukan dari rumah ke Bilik Kebal tersebut juga 20KM.

Persoalan yang timbul, dimanakah letaknya tuntutan hak perjalanan 15KM lagi bagi kes pertama dan 17KM lagi bagi kes kedua ? Kehilangan 15KM atau 17KM yang disebut di sini hanyalah untuk jangka masa 1 hari dan bagaimana pula dengan hari-hari yang lain?

Adakah dengan sebab kerajaan ingin berjimat, hak tersebut terpaksa diketepikan ataupun sememangnya kerajaan sudah tidak ada duit? Sudahlah guru tersebut secara paksa rela diminta menjaga peperiksaan dan terpaksa pula mengorbankan semua cuti panjang, hak yang sepatutnya dia dapat juga terpaksa dilupakan!

Janganlah kita hanya bijak memohon pertolongan orang lain, sedangkan kita sendiri tidak menilai dengan baik serta memberi upah yang sewajarnya kepada mereka. Kerajaan yang mendahulukan rakyat akan prihatin terhadap semua ini dan bukannya bersikap memeras keringat terhadap orang lain.

Apa yang ditakuti, slogan “Rakyat didahulukan.. “ itu tidak beerti malah akan menjadi tidak lebih daripada satu retorik kosong bagi memperdaya dan menindas rakyat serapat-rapatnya. Dan jangan pada suatu masa nanti, kerajaan melalui pegawai-pegawai atasan kementerian terbabit terpaksa turun padang untuk mengawas peperiksaan dek kerana “ketidakbuluran” kami guru-guru biasa mahu lagi menjalankan tugas yang secara lahiriah nampak seperti ikhlas yang tak bertempat.