Oleh Shahbudin Husin
Sejak
malam tadi apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak petrol
dan diesel sebanyak 20 sen seliter, bukan saja stesen minyak dibanjiri
dengan kenderaan, malah laman sosial juga sarat dengan kecaman terhadap keputusan yang dianggap tidak bijak dan membebankan rakyat itu.
Dengan mengumumkan kenaikan itu hanya tiga hari sebelum umat Islam
menyambut Hari Raya Aidil Adha yang pastinya akan melonjakkan
peningkatan harga barang-barang keperluan serta menambah lagi jumlah
perbelanjaan, kerajaan berslogankan mendahulukan rakyat pimpinan Najib
Razak seakan-akan sudah tersasar jauh daripada apa yang selalu mereka
laungkan.
Bukan saja kenaikan itu yang dipertikaikan kerana
beberapa laporan media antarabangsa menyebut harga minyak dunia sedang
menurun ketika ini tetapi juga masa kenaikan itu yang hanya tiga hari
sebelum sambutan Hari Raya Korban turut dianggap tidak sesuai
sama-sekali.
Apakah kerajaan tidak prihatin lagi kepada rakyat?
Kenapakah kerajaan tidak boleh menunggu seminggu dua lagi untuk
mengumumkan kenaikan itu?
Di media sosial, ramai yang meluahkan
kemarahan mereka. Bulan saja penggiat media sosial pro pembangkang
yang mengambil kesempatan ini untuk membelasah lagi kepimpinan Najib
Razak, malah ramai juga yang pro kerajaan turut meluahkan perasaan yang
sama. Semua mereka berpendapat kenaikan itu tidak wajar, selain
masanya juga tidak sesuai.
Terdapat juga yang menyindir Najib
dan kerajaan berikutan kenaikan itu seperti memberi petua menjimatkan
minyak kereta dan bagaimana untuk memastikan penanda minyak sentiasa di
garisan F yang dibuat dalam bentuk lawak jenaka. Ada pula yang
mentafsirkan BR1M 2.0 dengan maksud "Beratur Ramai-ramai Isi Minyak 20
sen".
Yang memerli Najib dan kerajaan dengan mengucapkan terima
kasih dan tahniah juga ramai atas tindakan menaikkan harga minyak,
antaranya ialah bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin.
Ustas Kazim Elias, penceramah agama yang sebelum ini menolak lantikan
sebagai Ahli MT UMNO oleh Najib adalah antara yang paling awal meluahkan
perasaan tidak setuju dengan kenaikan harga minyak ini serta meminta
kerajaan mengkajinya semula atas dasar prihatin terhadap rakyat yang
berpendapatan rendah.
Di kalangan pemimpin kerajaan pula,
walaupun media sosial seharusnya menjadi medium mendekatkan interaksi
antara pemimpin dengan rakyat, tetapi kenaikan harga minyak malam tadi
telah menyebabkan mereka senyap sunyi dan "tidur awal" lantaran
mengelak untuk berhujah dengan kemarahan rakyat. Jelas bahawa tidak
ramai pimpinan kerajaan yang berani mempertahankan tindakan kerajaan
itu dan berhujah secara terbuka.
Hanya Timbalan Menteri
Kewangan, Ahmad Maslan yang tampil cuba merasionalkan kemarahan rakyat
dengan menulis di twitternya "Ron95 sebenar pasaran RM2.58 seliter.
Harga di Malaysia RM2.30. Subsidi kerajaan 28 sen seliter. Diesel
sebenar 2.52. Msia 2.20. Subsidi 32 sen. Tq."
Namun sebenarnya
bukan harga pasaran minyak dan jumlah subsidi yang diberikan kerajaan
atau jumlah RM2 billion subsidi yang diperuntukkan kerajaan yang
menjadi isu dan boleh meredakan suhu marah rakyat, tetapi hal paling
besar ialah kenapakah Najib bersetuju dengan kenaikan yang dianggap
tinggi dan dilakukan menjelang Hari Raya Korban pula?
Apakah
kerajaan sudah kekeringan kantung kewangannya sehingga tidak
sabar-sabar mahu mengurangkan subsidi rakyat? Kalau kerajaan kekurangan
wang yang memberi erti prestasi ekonomi tidak membersangkan, bagaimana
pula diumumkan baru-baru ini ekonomi negara berkembang sebanyak 6.4
peratus?
Logiknya jika ekonomi makin berkembang yang tentunya
diikuti dengan bertambah kukuhnya kewangan negara, tentulah kerajaan
tidak begitu terdesak memotong subsidi untuk rakyat bawahan.
Walaupun ada yang meletakkan punca kenaikan ini berdasarkan saranan
Pemandu yang dipimpin oleh Idris Jala, kata putus membenarkan kenaikan
itu tetap di tangan Najib Razak selaku Perdana Menteri. Hanya jika Najib
bersertuju dengan kenaikan yang dicadangkan itu, barulah ia akan
dinaikkan.
Menaikkan harga minyak dan mengurangkan subsidi
rakyat bukanlah kali pertama dilakukan Najib. Ia sudah banyak kali
dilakukan sebelum ini. Alasan klise yang selalu diberikan ialah untuk
meningkatkan daya saing rakyat dan memberi ruang ekonomi berkembang
dengan lebih baik.
Tetapi memotong subsidi yang menyebabkan
harga minyak naik tanpa angin dan tanpa ribut serta menjelang musim
perayaan bagi umat Islam bukan saja tidak meningkatkan daya saing dan
perkembangan ekonomi, bahkan tidak lain adalah manifestasi wajah dan
warna hati sebenar Najib sebagai anak bangsawan yang tidak memahami
derita dan kesusahan rakyat terbanyak di negara ini.
Sementara
beliau dan keluarga teus bermewah dengan pelbagai kemudahan yang
ditanggung rakyat melalui cukai rakyat, sedikit demi sedikit rakyat
disengsarakan dengan pelbagai beban dan kenaikan yang dipaksakan.
Sebagai anak bekas Perdana Menteri yang sejak lahir dilimpahi kemewahan,
bukan saja kesusahan tidak pernah dirasainya, pemahaman mengenai erti
derita dan kemiskinan juga tidak sama dengan mereka yang pernah
mengalaminya.
Setelah enam tahun berlalu, kesilapan memilih
anak bangsawan sebagai Perdana Menteri nyata makin ketara. Negara tidak
harus mengulangi lagi kesilapan ini. Anak, cucu atau menantu Perdana
Menteri tidak seharusnya lagi diberi ruang memimpin negara ini jika
kehidupan rakyat bawahan dan marhaen ingin benar-benar difahami,
diperjuangkan dan dibela