DenyutReformasi

Pakatan Rakyat dihadiahkan dengan isu ‘periuk nasi’, gunakan sebaiknya

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Tidak boleh berlaku; tarif elektrik, gula dan minyak naik tetapi harga barang dan kos perkhidmatan tidak naik. Jaminan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhttp://norafidahbpsrt.files.wordpress.com/2011/03/periuk-nasi.jpghyiddin Yassin bahawa inflasi tidak akan berlaku dengan kenaikan tarif elektrik adalah karut, justeru Pakatan Rakyat kini dihadiahkan dengan isu ‘periuk nasi’ merupakan isu yang paling efisien merobek hati nurani rakyat.

kenaikan tarif elektrik akan menyebabkan kos barangan atau perkhidmatan akan meningkat dan dengan sendirinya inflasi atau kenaikan harga barang akan berlaku


Memang tarif lektrik dikenakan pada pengeluar, tetapi bila keadaan ini berlaku, barangan keluaran mereka terpaksa dinaikkan harganya sehingga ianya akan membebankan rakyat seluruhnya khususnya yang berpendapatan rendah.

Menurut anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah, walaupun tarif tidak dinaikkan untuk pengguna yang bilnya RM77 ke bawah sebulan, golongan berpendapatan rendah akan terus terbeban dengan cara ini.

Ini kerana, pengguna elektrik yang besar iaitu pekilang akan tetap terbeban dan kos mereka akan meningkat. Apabila ini berlaku, mereka akan menutup kenaikan kos itu dengan menaikkan harga barangan mereka dan ini akan membebankan golongan bawahan secara tidak langsung apabila mereka terpaksa membeli barangan itu.

Sepatutnya kerajaan mengurangkan atau menghentikan pampasan kepada syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) dan syarikat konsesi tol setiap tahun kerana ia mampu menjimatkan wang negara. Ia ibarat kera di hutan disusukan, anak dipangkuan dibiar kebuluran.

Semua pihak dalam PAS amat sedar sukarnya memainkan isu di kalangan masyarakat Melayu yang berdekad-dekad dikhayalkan dengan candu ‘kuasa Melayu’ oleh UMNO. Maka satu-satu isu yang boleh memecahkan kebuntuan itu ialah yang berkaitan dengan periuk nasi dan susah senang kehidupan seharian mereka. Ada kelompok manusia yang sukar untuk marah bagi pihak orang lain tetapi setelah kesusahan itu menimpa batang hidung sendiri, maka proses pengubahan persepsi mereka menjadi lebih mudah.

Jangan lupa, PRU ke 12 lalu, selain faktor pengundi Bukan Melayu, faktor kenaikan harga barangan akibat kenaikan harga minyak menjadi penyebab sebahagian undi Melayu berpihak pada pembangkang. Soalnya bagaimana pengembelingan harus dilakukan supaya isu periuk nasi ini tidak terpinggir malah diutamakan dalam seluruh sesi penerangan kepada rakyat di semua peringkat. Percayalah isu ini akan jadi sangat efisien untuk menumbangkan BN. Ia telah terbukti di banyak negara.

Panas isu ahli majlis bantah YDP MPSPK

Keluaran yang lalu saya menulis mengenai tindakan pihak penguatkuasa Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) yang diketuai oleh Setiausaha MPSPK merobohkan gerai-gerai haram di sepanjang Jalan Kelab Cinta Sayang Sungai Petani. Ia menimbulkan bantahan peniaga, orang ramai dan Exco Kerajaan Negeri yang juga merupakan ADUN Kawasan terbabit, S. Manikumar. Bantahan tidak diendahkan dan gerai tetap dirobohkan.

Episod perobohan itu rupanya tidak berakhir di situ.Seramai 17 Ahli MPSPK lantikan politik mendesak Yang Dipertuanya (YDP), Rozaina Radzi ditukarkan ke jabatan lain setelah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinannya.

Ketua Whip, Ishak Man mahu Kerajaan Negeri membuat siasatan terhadap Rozaina dan Setiausaha, Radzuan Osman kerana didakwa tidak efisien dalam beberapa perkara berbangkit.

Selagi tuntutan mereka tidak diberi perhatian sama ada siasatan dibuat atau kedua-duanya ditukarkan ke jabatan lain, selagi itu ahli majlis lantikan politik seramai 17 orang akan memboikot mesyuarat MPSPK.

Namun peranan sebagai ahli majlis tetap diteruskan seperti biasa,17 ahli majlis itu membuat sidang media selepas menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, di pejabatnya di Wisma Darulaman.

Menurutnya, rasa tidak puas hati terhadap tindakan merobohkan gerai di sepanjang Jalan Kelab Cinta Sayang 26 Mei lalu antara punca mereka menyerahkan memorandum agar Menteri Besar campur tangan menyelesaikan kemelut dihadapi.

Keputusan merobohkan gerai berkenaan tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat bersama ahli majlis. Tindakan tersebut jelas membelakangi ahli majlis sebagai pembuat dasar dalam pentadbiran.

Rupanya isu roboh gerai bukanlah satu-satunya isu yang membangkitkan kemarahan ahli MPSPK tetapi beberapa isu lain seperti YDP sering berada di luar kawasan dan ini menyusahkan kakitangan untuk berbincang masalah berbangkit.

Antara kenyataan yang terkandung dalam memorandum itu ialah perancangan MPSPK sering tertangguh khususnya melibatkan kepentingan rakyat seperti cadangan membina stesen bas yang diputuskan dalam mesyuarat penuh majlis pada 28 Februari lalu.

Pecah tanah pembinaan stesen bas dibuat 5 Mac 2008 dan isu ini sering diketengahkan agar diberi keutamaan kerana mendapat rungutan penduduk yang mahu projek itu disegerakan,namun sehingga kini belum terlaksana.

Antara projek yang masih tertangguh sehingga kini ialah pembinaan pasar awam yang bajetnya sudah diluluskan pada penghujung tahun lalu tetapi belum dilaksanakan.

Isu lain yang turut menjadi perhatian ialah penguatkuasaan yang lemah terhadap rumah urut yang sebahagiannya menjalankan aktiviti tidak bermoral, termasuk premis judi.

Apa yang berlaku di MPSPK bukanlah isu politik kepartian, ia cuma isu pentadbiran. Namun apabila ia melibatkan kepentingan rakyat, ahli-ahli politik mestilah bingkas bangun mempertahankan kepentingan dan kebajikan rakyat. Tindakan mereka betul.

Bayangkan jika ahli-ahli politik membisu terhadap isu tersebut, maka pasti semua media talibarut BN akan mengeksploitnya habis-habisan. Berita itu akan disensasikan oleh media mereka selama berhari-hari. Perkasa dijangka akan cepat-cepat melompat mengadakan demonstrasi haram, menaikkan sepanduk ‘Kerajaan PAS Kedah tindas peniaga Melayu’. Pegawai yang buat operasi boleh tidur lena, tetapi ahli politik yang terpaksa berhempas pulas menjawab dengan rakyat, walhal sebelum operasi meroboh orang politik langsung tidak diberitahu. Inilah yang mahu dielakkan.