DenyutReformasi

Perihal Tukang Karut Ekonomi Makro

Oleh: Shirzad Lifeboat

Menguruskan ekonomi Negara bukannya macam menguruskan perniagaan goreng pisang di tepi jalan.Bahkan ia juga bukan macam menguruskan sesebuah https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhluiDNCLLlC32epgnk4RfxDVryhDXuapN7WPIn2tLnmONL2LmSnQ5DMUm80sM8CHDGe9RQcTjQJmioQqRyp515OWLAOcTZz54yEbfqugJei_6kO_009Wa5XqJweRn31nYiTvRdAKnqXxhX/s400/najib+barang+naik.jpg badan korporat, termasuk yang terkelas dalam golongan konglomerat multi-nasional.

Walaupun prinsip asasnya hampir sama – lebihan terimaan harus melebihi perbelanjaan, namun pengagihan lebihan ini sama sekali berbeza.

Bagi penjualan goreng pisang, segala lebihan, juga disebut keuntungan adalah milik sepenuh pengusahanya. Bagaimana lebihan itu digunakan adalah urusan pemilikinya menurut apakah skala keutamaan ekonominya dan sekiranya ia mahu keuntungan lebih (sama ada kerana tamak atau atas alasan lain yang lebih munasabah dan murni), maka apa yang perlu dilakukan hanyalah menaikkan sahaja harga goreng pisang yang dijual itu.

Bagaimanapun ia bukanlah tanpa risiko kerana apabila harga dinaikkan mungkin ada pengguna yang tidak akan membeli lagi goreng pisang jualannya. Ini kerana goreng pisang bukanlah satu barangan perlu dalam kehidupan seharian dan biasanya bukanlah tersenarai sebagai keperluan utama dalam skala keutamaan seseorang pengguna.

Berbeza sedikit dengan dunia korporat, keuntungan daripada perniagaan perlu diagihkan kepada pemegang sahamnya dalam bentuk dividen di atas pelaburan atau dalam bahasa mudahnya di atas jumlah sumbangan modal seseorang pemegang saham. Dan pemegang saham juga mungkin pengguna dan mungkin juga bukan pengguna barangan atau perkhidmatan yang diperniagakan oleh syarikat korporat berkenaan.

Begitupun dalam kedua-dua kes ini kehandalan atau betara ‘terror’nya seseorang pengurus – dari yang bergelar pengusaha sehinggalah kepada yang bergelar CEO malah Pengerusi Eksekutif ialah sebanyak manakah keuntungan yang mampu dicatatkan, banyak mana aset yang dapat dikumpulkan dan sama ada nisbah liabiliti dengan aset berada dalam kadar yang sepatutnya.

Begitupun hal yang sama tidak dikongsi oleh seseorang menteri Kabinet yang ditugaskan untuk menguruskan kewangan negara. Walaupun menteri berkenaan, iaitu lazimnya seorang Menteri Kewangan bertanggungjawab ke atas punca dan sumber perolehan hasil negara namun kemampuan mendapatkan sebanyak mana perolehan sahaja tidaklah memadai. Malah ia tidak relevan kepada tugasnya sebagai menteri berkenaan. Justeru tidak ada gunanya seseorang menteri kewangan mendabik dada dan menghebohkan ke sana ke mari kononnya dia telah berjaya membawa balik sekian banyak pelaburan atau pendapatan negara melonjak tinggi atau ekonomi negara menikmati pertumbuhan pesat sekiranya dia gagal memanfaatkan hasil seperti yang digembar-gemburkan itu untuk kepentingan rakyat.

Di negara kita hari-hari Menteri Kewangan dan kerajaan UMNO-BN bercakap tentang betapa hebatnya prestasi ekonomi kita. Pendek kata tidak ada lagi Menteri Kewangan negara lain yang dapat menandingin kehebatan prestasi ini. Setiap waktu ada sahaja pelaburan asing yang di bawa balik oleh anggota Kabinet termasuk Perdana Menteri sendiri. Setiap waktu ada sahaja kenyataan dan cerita betapa projek itu dan ini akan mempertingkatkan lagi pendapatan negara.

Tapi yang pelik, di sebalik kehebatan yang dicanangkan ini, kerajaan nampaknya terperangkap dalam aliran wang tunai yang serius sehinggakan rakyat perlu dihukum dengan pelbagai penarikan subsidi.

Kita meraka hairan mengapakah tindakan seperti itu dilakukan sekiranya cerita-cerita mengenai prestasi ekonomi adalah cerita benar. Dalam keadaan sedemikian, bukankah sepatutnya kerajaan UMNO-BN mempertingkatkan lagi jumlah subsidi yang diberikan kepada rakyat. Nak beri setiap rakyat wang tunai tentulah tidak munasabah tetapi apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan UMNO/BN ialah mengagihkan pendapatan negara yang maha hebat ini dalam bentuk subsidi.

Di sebalik kenyataan demi kenyataaan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana menteri memberikan alasan mengapa kerajaan perlu menarik balik pelbagai subsidi, persoalannya mengapakan kerajaan tidak lagi memilik dana mencukupi untuk melunaskan subsidi yang telah diberikan oleh rakyat ini?

Kita semakin keliru dan tidak faham betapa di waktu lain telinga kita disogokkan dengan cerita lunak tentang ekonomi, transformasi ekonomi, pendapatan tinggi untuk setiap rakyat tetapi dalam waktu lain pula kerajaan UMNO/BN, menerusi muka sedih dan muka 10 sen pemimpinnya mengumukan penurunan jumlah subsidi dan kenaikan tarif elektrif perlu dilakukan bagi mengelakkan jumlah subsidi menjadi tidak lagi dapat ditampong oleh kerajaan atau mengelakkan dari berlakunya defisit dalam bajet.

Sekiranya kita boleh menerima alasan ini dan rakyat terpaksa mengalami penguncupan ketara dalam pendapatan sebenar mereka disebabkan terpaksa membayar jumlah berlebih untuk semua barangan dan perkhidatan yang subsidinya telah dikurangkan oleh kerajaan serta kenaikan barang makanan yang dianggar telah naik sebanyak antara 30-40 peratus sejak tahun 2005, maka ini bermakna ekonomi kita sebenarnya tidaklah sehebat mana.

Tapi dalam waktu yang sama, kita percaya ekonomi Malaysia bukanlah terlalu buruk kerana kita memiliki pelbagai komoditi yang dipasarkan di pasaran antarabangsa termasuk minyak. Oleh itu, persoalannya kini, apakah kerajaan UMNO/BN telah menguruskan ekonomi Malaysia secara terbaik dengan mengutamakan keperluan dan hal ehwal rakyat seperti yang disebut oleh Perdana Menteri, ‘rakyat didahulukan.’?

Atau apakah menteri yang bertanggungjawab terhadap ekonomi Malaysia ini cuma merasakan kewajipannya hanyalah untuk menggambarkan kepada rakyat betapa pendapatan negara adalah bagus dan sedang dilipat gandakan sedangkan dalam waktu yang sama, keperluan rakyat tidak perlu difikirkan sangat?