DenyutReformasi

Mengapa PAS tolak Umno, terima DAP


Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempunyai jawapan tersendiri, mengapa mandat harus diberikan kepada Pakatan Rakyat dan mengapa PAS bekerjasama dengan DAP dan KeADILan untuk menawan Putrajaya. Berikut adalah sedutan tiga soalan daripada 33 soalan yang dikemukakan masyarakat kepada PAS. Soalan dinukil wakil Harakah di Terengganu, KHAIRUL AZLAM MOHAMMAD.

WARTAWAN: Benarkah dakwaan Umno bahawa jika Pakatan Rakyat menang PRU13 ini, DAP akan menjadi Perdana Menteri?

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG: Jawapannya, tidak benar. Pertama, berdasarkan kepada resolusi bersama Pakatan Rakyat yang berasaskan kepada konsep yang ada kepada dalam Perlembagaan. Iaitu, Islam sebagai Agama Persekutuan dan dalam masa yang sama agamaagama lain dilayan dengan adil.
Kedua, hak Istimewa orang Melayu Bumiputera dan ketiga, Raja Berperlembagaan.
Sudah tentulah semangat kerajaan yang hendak ditubuhkan itu berdasarkan apa yang telah ada dalam Perlembagaan. Iaitu semua masyarakat menerima hakikat bahawa majoriti rakyat Malaysia adalah penganut agama Islam.
Ini bukan sahaja oleh MCA, MIC, Gerakan dalam Barisan Nasional (BN). Bahkan, diterima oleh semua parti-parti yang bukan Islam atau parti yang mempunyai ahli yang bukan Islam.
Oleh kerana itu, DAP dan rakan-rakan bukan Islam dalam KeADILan menerima resolusi Pakatan Rakyat. Kita tidak boleh melantik dengan sendiri setelah menang pilihan raya dan mestilah mengikut Perlembagaan yang dirujuk kepada persetujuan Raja-Raja Melayu yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong.
Alasan kedua, kita dapat lihat sendiri (sejarah) di Perak. Bila Pakatan Rakyat menang di Perak pada PRU12 tahun 2008., walau pun PAS menang enam kerusi sahaja dan KeADILan menang lapan kerusi dan DAP menang dengan kerusi yang lebih besar di Perak. Namun akhirnya, dalam perbincangan bersama dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak bersetuju Dato’ Seri Nizar menjadi Menteri Besar.
Dan yang berikutnya mesti dilihat kepada kerusikerusi yang dipertandingkan.
Mengikut pembahagian kerusi yang dipertandingkan iaitu DAP bertanding sekitar 50 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen. Dengan jumlah 222 buah kerusi itu DAP tidak boleh mencalonkan wakilnya untuk menjadi Perdana Menteri (PM) kerana jumlahnya tidak mencukupi satu pertiga.
Ini satu persefahaman yang berpijak. Maka, sesuatu pandangan itu hendaklah berpandukan kepada sesuatu ilmu dan jangan berdasarkan kepada suatu sangkaan atau andaian yang tidak baik.
Melalui asas-asas tadi, kita melihat DAP dan semua rakan-rakan yang bukan Islam menerima hakikat yang sudah ada dalam Perlembagaan dan dipanjangkan dengan pembahagian kerusi dalam Pakatan Rakyat.
Mengapa PAS sanggup bekerjasama dengan Parti DAP dan menolak kerjasama dengan Parti Umno, sedangkan mereka (Umno) Islam?
Perlulah diketahui bahawa Umno adalah parti Kebangsaan yang berdasarkan kepada sekular. Islam menjadi sebahagian daripada kegiatan, bukan dasar dan matlamat perjuangan. Politik dipisahkan daripada Agama (Islam).
Umno meneruskan dasar yang dilaksanakan oleh penjajah Inggeris dengan memisahkan politik daripada agama. Dengan sebab itu, Umno tidak melaksanakan agenda Islam dengan sepenuhnya.
Dan perlu diketahui bahawa, Umno mempunyai keahlian Bumiputera di kalangan orang Melayu, keseluruhannya orang Islam dan Bumiputera yang bukan Islam. Maka, kerjasama PAS dengan parti yang berdasarkan kepada sejauh mana ruang yang boleh kita laksanakan Islam.
Mengikut senario politik negara PAS pernah bekerjasama dengan Umno pada tahun 1970 dalam kerajaan Campuran (Perikatan) dan tahun 1974, dalam Barisan Nasional (BN).
Kerjasama yang ditetapkan syarat-syaratnya oleh Dewan Ulamak PAS dan diluluskan oleh Muktamar Khas PAS.
Kerjasama yang membolehkan PAS menerapkan ajaran Islam dalam kerajaan dan PAS mempunyai keperibadian sendiri dalam kerajaan itu. PAS telah menunaikan tanggungjawab dalam masa kerjasama dengan Umno-BN itu dengan beberapa langkah yang kesannya dapat dilihat hingga hari ini.
Di antaranya ialah dapat mengadakan laungan waktu azan dicorong-corong radio.
Menghapuskan agenda-agenda maksiat dalam majlis jamuan negara seperti tari-menari dan minum arak bagi orang Islam. Dan berjaya melakukan kegiatan kefahaman orang Islam di dalam jentera-jentera kerajaan dan pusat-pusat pengajian tinggi.
PAS menghadapi tentang untuk melebarkan pengaruhnya yang akhirnya berlaku pertembungan dengan Umno yang campur tangan dalam urusan negeri Kelantan, yang membawa kepada Undangundang Darurat di Kelantan yang diluluskan di Parlimen.
Umno yang memimpin Barisan Nasional pada waktu itu telah bertindak mengisytiharkan darurat dan mengadakan pilihan raya tersendiri di Kelantan dan berjaya menawan Kelantan. Itu suatu rancangan yang kotor dari segi politik.
Sebelumnya, juga pernah berlaku khianat terhadap kerajaan negeri Terengganu, yang menyebabkan kerajaan kita (PAS) jatuh di Terengganu melalui politik wang dan sekatan-sekatan pentadbiran, media dan sebagainya.
Kesimpulannya, PAS pernah kerjasama dengan Umno melalui kerajaan Perikatan dan melalui Barisan Nasional. Kerjasama dengan parti yang berkuasa di dalam kerajaan pusat.
Hari ini, PAS mengubah strategi dengan mengadakan kerjasama dengan parti yang tidak ada kuasa dalam kerajaan iaitu dengan parti DAP dan parti KeADILan.
Kerjasama yang kita rasakan kerjasama kita lebih kukuh kerana sama-sama tidak ada kuasa dan sama-sama tidak (belum) jadi kerajaan di peringkat pusat.
Kita (PAS) telah diizinkan oleh Allah SWT menawan beberapa buah negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-12. pengalaman dalam kerjasama dengan kerajaan negeri ini menunjukkan banyak perkara yang sangat positif. Di antaranya, PAS telah berjaya memanjangkan apa yang telah kita capai kejayaan di Kelantan.
Iaitu, dapat mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dari rasuah dan salah laku yang negatif dalam kerajaan. Di mana, asas kerajaan (Kelantan) ini dapat dilangsungkan dalam kerjasama kita dalam negeri yang kita perintah iaitu di Kedah, di Terengganu sebelumnya (1999- 2004), di Perak, Pulau Pinang dan Selangor.
Walau pun kerajaan kita (PAS) tumbang di Terengganu dan tumbang di Perak tapi bukan kerana salah laku pemimpin (kerajaan).
Itu kerana, salahlaku pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang melakukan suatu perancangan yang tidak demokratik.
Pengalaman kita melalui kerjasama dengan DAP telah mencapai suatu kejayaan yang besar.
Apabila DAP menerima asas kerjasama Islam sebagai Agama Persekutuan dan agama lain diberi hak. Itulah adalah konsep yang ada dalam ajaran Islam.
Dan parti DAP sekadar mengadakan pandangan tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang diwajibkan oleh Allah SWT seperti Undangundang Qisas dan Hudud. Tetapi, mereka (DAP) tidak menentang.
“Tidak Bersetuju, Tidak Menentang” dan ini berbeza dengan Umno yang menentang pelaksanaan Islam yang kita perjuangkan. Ini suatu perbezaan yang sangat ketara.
Dan perlu diketahui semua, kerjasama kita dengan semua pihak di dalam Islam hendaklah berdasarkan kepada keizinan hukum syarak, yang diluluskan oleh Majlis Syura Ulama. Majlis Syura Ulama PAS adalah badan yang tertinggi menjamin setiap perjalanan PAS mengikut hukum Islam. Sekiranya bercanggah dengan hukum Islam, Majlis Syura Ulama boleh membatalkan.
Dalam kerjasama kita dengan semua pihak bergantung kepada apa yang disebut oleh Nabi s.a.w. yang bermaksud “Orang-orang Islam wajib berpegang dengan syarat-syarat yang mereka adakan dengan pihak lain kecuali syaratsyarat yang mereka halalkan yang haram dan mereka haramkan yang halal”. Di mana, nas ini tidak mengizinkan kerjasama lagi jika berlaku hal-hal yang demikian.
PAS membawa slogan ‘Islam For All’ tetapi mengapa majoriti yang berada dalam PAS kebanyakkannya Melayu. Sejauh mana pendekatan PAS untuk menarik golongan Islam kaum lain kepada PAS?
Konsep Islam untuk seluruh manusia dan ini bukan PAS pandai-pandai. Begitulah juga Nabi Muhammad s.a.w. dilantik menjadi Rasul untuk seluruh manusia. Oleh kerana, kita kena bermula dengan kaum kita sendiri sudah tentulah kita akan selamatkan kaum kita dulu dengan Islam. Dalam masa yang sama kita tidak boleh meninggalkan mesej “Islam For All” ini dilaksanakan untuk mengajak seluruh manusia menerima Islam.
Mengajak menerima Islam ini dengan cara-cara yang diajar oleh Islam. Pertama, ajak dia masuk Islam. Kedua, perkenalkan hukum-hukum Islam yang adil memberi rahmat kepada seluruh alam manusia. Ini yang perlu kita lakukan dan bukan mesti mereka masuk Islam terus.
Di sinilah, kita (PAS) mengadakan kerjasama dengan parti-parti bukan Islam. Di mana kerjasama ini dapat kita perkenalkan sifat-sifat kita kepada orang bukan Islam.
Hasilnya, kita telah berjaya menarik sebahagian orang bukan Islam menyokong PAS secara langsung dan tidak mahu lagi menyertai parti lain sehingga kita (PAS) menubuhkan cabang Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dalam PAS.
Ini untuk membolehkan orang bukan Islam bersama dengan PAS. Ini suatu kejayaan yang kita capai.
Nabi kita Muhammad s.a.w. ketika berhijrah mengadakan kerjasama dengan orang Yahudi. Walau pun segelintir sahaja orang Yahudi masuk Islam tapi kerjasama dibuat. Di Mesir kerjasama dibuat dengan orang Qibti dan akhirnya masyarakat di Mesir menerima Islam.
Di Iran, masyarakat majusi dan akhirnya menerima Islam. Pada peringkat awalnya segelintir dan segelitir itu menjadi ‘benih’.
Tanggungjawab kita ialah menyelamatkan manusia dengan Islam tanpa paksaan. Itu risalah yang wajib disampaikan.