Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM
SESUNGGUHNYA Islam tidak hanya mewajibkan jihad dalam medan pertempuran dengan mengangkat senjata menghadapi pihak musuh.
Menuntut ilmu, keluar mengundi bagi menentukan para pemerintah yang
adil, melawan hawa nafsu juga adalah termasuk bahagian-bahagian jihad
yang ditetapkan oleh Islam.
Tidak kurang juga tanggungjawab
menjalankan ‘amar makruf dan nahi mungkar’ merupakan tugas jihad yang
semakin kurang dihidupkan peranannya sejak kebelakangan ini lantaran
kesibukan tugasan harian sama ada di rumah mahupun di pejabat. Antara
peranan atau tugas amar makruf dan nahi mungkar yang mesti dijalankan
dalam masyarakat umat Islam ialah untuk memberi nasihat atau
mengingatkan golongan penguasa/pemerintah agar melaksanakan perintah
Allah secara praktikal berdasarkan hukum-hukum yang ada dalam al-Quran
meliputi aspek kenegaraan, kemasyarakatan, sistem politik, ekonomi,
pemuliharaan alam sekitar, penyelesaian terhadap permasalahan remaja dan
sebagainya.
Tanggungjawab menasihati pemerintah Nasihat atau
memberi peringatan kepada pemerintah yang tidak komited dengan
hukum-hukum yang ada dalam al-Quran serta pelaksanaannya, adalah menjadi
tanggungjawab kepada mana-mana parti, pertubuhan atau gerakan Islam
dalam sesebuah negara. Ia bertujuan agar pemerintah tidak mengheret sama
masyarakat umat Islam agar menjadi umat yang tidak berfungsi dengan
elemen-elemen agama seperti yang diperintahkan Allah.
Selagi mana
terdapat pemerintah yang tidak melaksanakan hukum-hukum, undang-undang
serta peraturan yang telah ditetapkan Allah dalam al-Quran, maka ia
patut diberi teguran agar seluruh masyarakat khususnya umat Islam tidak
menanggung beban di akhirat atas kealpaan mereka kerana membelakangkan
hukum-hukum Allah.
Jika pemerintah merupakan golongan yang mudah
menerima teguran atau nasihat, maka pihak terbabit seperti di atas wajib
melakukannya.
Jika sebaliknya pemerintah adalah jenis yang sukar
menerima sebarang teguran malah mengenakan tindakan yang tidak
munasabah ke atas golongan yang menegur mereka, maka saluran yang betul
perlu dicari bagi membetulkan keadaan, ia tidak lain adalah dengan
saluran pilihan raya.
Pilihan raya satu kewajiban ke atas umat
Islam Apabila segala pendekatan nasihat tidak dapat disampaikan dengan
baik, walaupun ia adalah yang terbaik bagi merubah sesuatu keadaan, maka
umat Islam wajib mencari satu pendekatan, kaedah atau cara yang tidak
melanggar ketentuan dan hukum Islam, ia tidak lain adalah melalui proses
pilihan raya.
Walaupun pilihan raya itu dianggap bukan sebagai
matlamat terakhir, ia diterima dan disifatkan sebagai wasilah bagi
membolehkan proses ‘amar makruf dan nahi mungkar’ sebagaimana yang
ditegaskan di kalangan para ulama kontemporari seperti Syeikh Prof Dr
Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Faisal Molawi, Dr Fathi Yakan, Dr Muhammad
Said Hawwa dan sebagainya daripada kalangan ulama-ulama haraki.
Ini bermakna apabila pilihan raya yang menjadi medan bagi menentukan
kedudukan pemerintah selepas itu tidak disertai oleh segelintir Muslim,
maka mereka berdosa kerana memberi laluan dan kemenangan percuma kepada
pemerintah yang zalim dengan pelbagai tindakan kejam seperti ISA (yang
masih dikekalkan) kerana dengannya mereka yang ditahan di bawah akta itu
dipisahkan dengan ahli keluarga sedangkan ia adalah dilarang oleh
baginda Rasulullah s.a.w.
Apatah lagi jika pilihan raya
mengandungi unsur-unsur penipuan dalam kiraan undi, daftar pemilih yang
mempunyai unsur-unsur penipuan, pemindahan peti-peti undi ke tempat di
mana calon pemerintah dikhuatiri tewas di tangan calon pembangkang dan
sebagainya.
Maka penyertaan dalam pilihan raya oleh setiap Muslim
bukan lagi dianggap sebagai satu keharusan, malah ia wajib bagi
memastikan penipuan dan pembohongan tidak berlaku kerana ia melanggar
etika akhlak yang pernah ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. yang
menganggap mereka yang berbohong ke atas umat Islam bukanlah daripada
golongan baginda Rasulullah s.a.w.
Perkara itu telah ditegaskan
oleh baginda menerusi hadisnya yang diriwayatkan oleh ar-Rafi’e daripada
Ali bin Abi Talib yang bermaksud: “Bukan daripada golongan kami sesiapa
yang menipu orang Islam, memudaratkannya atau melakukan sesuatu yang
dibencinya.” (Hadis Hasan) Memandangkan kemungkaran sejak kebelakangan
ini semakin menjadi-jadi kerana ia dijana oleh pihak berkuasa yang
membelakangkan hukum Allah, dengan mereka cipta pelbagai bentuk maksiat
khususnya hiburan keterlaluan dengan pelbagai nama dan pendekatan, maka
menjadi kewajipan ke atas semua pengundi khususnya yang beragama Islam
mengembalikan kemuliaan Islam dengan memenangkan calon yang berjiwa
Islam dari segenap butir diri yang bertanding.
Kalau dilihat
kedua-dua parti yang bertanding dalam pilihan raya dalam negara kita
Malaysia ini iaitu antara PAS dan Umno, dari segi luarannya memang ia
mewakili bangsa Melayu, tetapi apabila dilihat dari segi dasar
perjuangan parti, ia amat berbeza antara satu sama lain.
Ini
kerana PAS sejak daripada mula penubuhannya sebagai sebuah parti politik
meletakkan bahawa al-Quran adalah sandaran perjuangan, dalam erti kata
PAS sedaya upaya mendaulatkan isi kandungan al-Quran dan menjadikannya
perlembagaan tertinggi dalam negara.
Justeru, para pemimipin PAS
serta calon-calonnya yakin bahawa etika akhlak penting lebih-lebih lagi
dalam pilihan raya, ia merupakan amalan harian sepanjang masa bukan
dengan menyebarkan fitnah seperti menghasilkan video seks yang
menjijikkan dalam kalangan pemimpin tertinggi parti pembangkang.
Berbeza dengan pemimpin Umno yang tidak beretika dengan akhlak Islam,
ini dapat dibuktikan dengan banyaknya penganjuran program maksiat,
walaupun ia dibantah oleh kumpulan cendekiawan serta golongan ulama
Islam, namun pandangan mereka dipinggirkan kerana bimbang tidak mendapat
sokongan padu dalam pilihan raya daripada golongan remaja yang sukakan
hiburan.
Begitu juga pada awal kemenangan pilihan raya umum 2004
dan 2008, ketika PM menjanjikan kepada umum untuk menangkis sebarang
penyelewengan khususnya yang melibatkan amalan rasuah dalam kalangan
pemimpin atau menteri, namun ia sekadar untuk menyedapkan halwa telinga
para pengundi, selepas daripada itu ia hanya tinggal kenangan yang akan
berulang pada janji-janji Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.