DenyutReformasi

Pilih ibubapa rakyat yang bertanggungjawab 5 Mei ini

Assalamualaikum w.b.t,

Besok hari tiba waktu getir di mana rakyat Malaysia bakal menentukan siapa kerajaan yang baru di Malaysia. Sepanjang kempen ini, banyak peristiwa yang berlaku, banyak hujah yang dilontarkan, dan banyak maklumat yang disebarkan untuk mempengaruhi rakyat, penentu kuasa mutlak sesebuah kerajaan di negara tercinta ini.Konsep keluarga

Sebelum kita melihat peringkat kerajaan, kita perlu memahami dulu cara kita mentadbir keluarga. Dalam sesebuah keluarga, yang paling dipentingkan ialah keselamatan dan kesejahteraan kesemua ahli-ahlinya. Semua mesti cukup makan dan tidak lapar. Semua mesti selamat dan sihat.

Ibubapa sebagai ketua keluarga, yang paling dipentingkan kita ialah masa depan anak-anak kita. Kita bertungkus-lumus bekerja, mengumpul duit untuk memastikan anak-anak kita untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik serta melengkapkan mereka dengan ajaran Islam, sebagai panduan kekuatan untuk mengharungi dunia yang penuh mencabar ini tanpa melupakan bahawa akhirat itu adalah lebih penting.

Apa tujuan kita untuk mendapatkan pendidikan terbaik untuk anak-anak kita? Supaya masa depan anak-anak terjamin, mereka berupaya mencari nafkah sendiri, membeli kereta, berkahwin dan mendirikan keluarga tanpa bergantung kepada kita. Apabila anak-anak berkembang dengan sihat, pulangan pada ibubapa adalah lumayan – kegembiraan yang tidak terhingga dan lain-lain yang tidak perlu disebut di sini.

Apabila anak-anak kita mendapat pendidikan yang terbaik, peluang pekerjaan mereka adalah luas – bukan sahaja tertumpu di Malaysia tapi kemahiran dan ilmu mereka juga bernilai di mana-mana sahaja di dunia.

Sebagai ibubapa, kita juga bertungkus-lumus memastikan jumlah pendapatan sentiasa melebihi pembelanjaan. Kita akan mendidik anak-anak kita untuk berjimat dan tidak membazir. Kita mencari jalan untuk melabur untuk meningkatkan pendapatan. Ketika membeli atau menggunakan wang, kita mencari nilai pulangan terbaik kepada wang yang hendak dibelanjakan.

Konsep kerajaan
Asas mentadbir sesebuah kerajaan sebenarnya sama dengan asas menjaga sesebuah keluarga. Pemimpin kerajaan adalah ibubapa. Manakala rakyat adalah anak-anaknya. Yang mengawal kehidupan ibubapa di dalam keluarga ialah anak-anak – masa kita, kerja kita dan duit kita semua dikawal demi masa depan anak-anak kita.

Maka, di peringkat kerajaan sebenarnya rakyat ialah bos kepada pemimpin yang dipilih melalui pilihanraya. Kepada para pemimpin yang dipilih – mereka mesti melakukan tanggungjawab sebagai ibubapa seperti dalam sebuah keluarga.

Maka di sini yang perlu direnungkan, apakah kerajaan BN, yang berusia 56 tahun ini ada mengganggap rakyat sebagai anak-anak mereka?

Sebagai ibubapa kepada rakyat, masa depan rakyat dan generasi seterusnya patut dijadikan keutamaan. Seperti harapan seorang ibubapa kepada anak-anak, sepatutnya rakyat diperkuatkan dengan ilmu melalui pendidikan dengan sumber yang ada.

Seharusnya institusi pendidikan dinaiktarafkan. Universiti bukan sahaja diperbanyakkan, tapi kualiti dipertingkatkan supaya anak-anak mendapat pendidikan yang terbaik. Apabila anak-anak mendapat pendidikan yang terbaik, maka ia seperti memberikan pancing dan mata kail kepada anak-anak, mereka boleh mencari makan sendiri. Mereka boleh bekerja di mana-mana sektor. Nilai kemahiran meningkat kerana kehebatan anak-anak dan sistem pendidikan kita dan secara automatiknya negara luar akan berminat melabur di negara kita.

Tapi selama 56 tahun memerintah, kerajaan BN sebagai ibubapa tidak pernah memikirkan perkara ini. Mereka tidak pernah berfikir untuk menjamin masa depan rakyat.

Institusi-institusi pendidikan dibiarkan kualitinya menurun. Mereka hanya memperbanyakkan institusi pendidikan tanpa mempedulikan kualitinya. Akibatnya rakyat atau anak-anaknya tidak dapat mencari kerja yang baik. Akhirnya, kerajaan yang terpaksa mengambil anak-anak ini sebagai pekerja.

Mana ada ibubapa yang inginkan anak-anaknya sentiasa bergantung pada keluarga untuk makan setiap bulan? Ada. Iaitu kerajaan BN. Mungkin pada mereka ini satu perkara yang bagus, anak-anak terpaksa bergantung kepada mereka, akhirnya setiap 5 tahun, anak-anak ini hanya perlu diberikan sedikit imbuhan, seperti memberi ikan kepada seseorang tanpa mengajarnya memancing, untuk mendapatkan sokongan mereka.

Anak-anak ini pula sering diingatkan untuk berterima kasih kepada ibubapa (kerajaan BN) – kerana mengambil mereka untuk bekerja. Walhal, mereka yang menyebabkan anak-anak ini terpaksa bekerja dengan mereka.

Apa yang terjadi apabila perkara ini berlaku? Pembelanjaan ibubapa semakin meningkat kerana perlu mengambil ramai anak-anak yang tidak mendapat pekerjaan kerana pendidikan yang diterima tidak bernilai di luar. Disebabkan itu, ibubapa tidak cukup pembelanjaan untuk menaiktarafkan institusi pendidikan negara. Disebabkan itu, masa depan anak-anak terus semakin malap dari satu generasi ke generasi yang lain. Anak-anak pemimpin BN terselamat daripada keadaan ini kerana mereka semua dihantar ke luar negara untuk menerima pendidikan yang terbaik.

Jika keadaan ini berlaku di dalam keluarga biasa, ibubapa akan mula mengikat perut dan mencari jalan untuk meningkat pendapatan rumah dan mengurangkan hutang agar ada duit untuk dilaburkan untuk pendidikan anak-anak mereka yang seterusnya. Tapi keadaan ini tidak berlaku bagi pemimpin kerajaan BN. Mereka terus boros. Duit keluarga dihabiskan tanpa rasa menyesal dan simpati. Kos komputer berharga RM2,000 dibeli pada RM42,000. Duit keluarga kononnya nak melabur dalam projek menternak lembu dihabiskan untuk membeli banglo-banglo untuk milikan sendiri.

Pendek kata, tiada duit yang dilaburkan untuk masa depan anak-anak. Duit hanya dihabiskan untuk pemimpin sendiri.

Malaysia sebuah negara yang kaya dengan sumber – nyatakan apa sumber yang kita tiada daripada emas hinggalah ke petroleum? Sekiranya kita mempunyai ibubapa yang menganggap rakyat sebagai anak-anaknya, Malaysia kini pasti satu negara yang sangat maju ke depan. Sepatutnya masa ini, anak-anak kita dah boleh membina sebuah smartphone sendiri dan sampai ke bulan.

Tapi tidak. Anak-anak kita, terutamanya orang Melayu dibiarkan bergantung hidup pada ibubapa yang tidak bertanggungjawab ini. Semua ini hanya semata-mata inginkan anak-anak mereka terus mengundi mereka menjadi ibubapa setiap lima tahun.

Selain itu, ibubapa juga harus memastikan anak-anak sentiasa berasa selamat dan sejahtera. Lihat kadar jenayah sekarang. Lihat kesukaran anak-anak kita untuk memiliki rumah dan dibebani pelbagai hutang apabila keluar bekerja. Ibubapa yang mana sanggup membiarkan anak-anak dalam keadaan sedemikian, jika bukan BN?

Cara mentadbir negara


Ada dua cara untuk mentadbir negara. Satu, biarkan rakyat dalam keadaan miskin sengsara sentiasa bergantung pada kerajaan – dan apabila tiba musim pilihanraya, tabur duit dan mengingatkan mereka untuk membalas budi atas pemberian tersebut dengan mengundi mereka.

Cara kedua ialah cara mentadbir sebagai ibubapa yang bertanggungjawab. Pembelanjaan berhemah, meningkatkan pendapatan untuk melabur demi masa depan rakyat. Rakyat dikuatkan dengan ilmu, seperti yang disarankan Islam. Dalam keluarga biasa, anak-anak akan dibiarkan fokus belajar manakala segala isu kewangan untuk membiayai pendidikan anak-anak akan diselesaikan ibubapa. Yang penting, anak-anak mendapat ilmu (pancing dan mata kail dan cara memancing) yang membolehkannya boleh cari makan sendiri tanpa bergantung pada ibubapa sentiasa.

Zaman kegemilangan Islam dahulu, orang Islam menerajui segala bidang ilmu – matematik, falsafah, perubatan sehinggalah astronomi. Dengan ilmu yang tinggi, rakyat dan negara akan dihormati di persada antarabangsa, pelaburan akan meningkat, rakyat mendapat kerja lumayan tanpa bergantung pada kerajaan. Duit lebihan melalui cukai yang dibayar rakyatnya yang kaya bertambah sumber hasil negara serta hutang yang kurang pula membolehkan kerajaan melabur dalam penyelidikan berkualiti yang melonjakkan lagi kehebatan negara di mata dunia.

Tawaran Pakatan Rakyat yang memokuskan pada pendidikan percuma dan berkualiti adalah ciri-ciri ibubapa yang inginkan masa depan anak-anaknya terjamin.

Bagi BN, rakyat boleh nilai sendiri samada mereka layak dilantik semula sebagai ibubapa berdasarkan rekod 56 tahun ini berdasarkan apa yang mereka lakukan selama ini.

Siapa yang lebih bersifat ibubapa kepada rakyatnya? Tepuk dada tanya iman.

56 tahun, bukan 56 hari,
Apa salah, kalau TUKAR satu kali.

Senyum.
Dan selamat mengundi!

Ini kali-lah.

Wassalam.
4 Mei 2013
Tuan Ibrahim Tuan Man