DenyutReformasi

Slogan 1Malaysia kini ditelan api perkauman

KUALA LUMPUR: Slogan 1Malaysia yang dibanggabanggakan BN kini ditelan hidup-hidup oleh api perkauman yang dihamburkan oleh tuantuannya, semata-mata mahu menutup kelemahan Umno-BN menerajui kerajaan selama ini.
Kenyataan rasis bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Dato’ Mohd Noor Abdullah yang memberi amaran, kononnya orang Melayu akan membalas dendam sekiranya dikhianati oleh kaum Cina, dilihat sebagai kesinambungan dasar-dasar Umno yang tidak mementingkan kaum-kaum lain.

AJK PAS Pusat, Khalid Samad menegaskan, kenyataan tersebut memberi gambaran “penyakit perkauman” ini sebenarnya tidak mengenal tahap dan taraf seseorang sekalipun siang malam meneriakkan slogan “1Malaysia”.
“Apabila penyakit ini melanda, seseorang yang berpendidikan tinggi dan berjawatan tinggi jika terjangkit penyakit ini akan pasti menjadi seperti orang yang tidak berpelajaran,” katanya
Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, kepimpinan Umno-BN seharusnya memperakui hakikat yang berlaku hari ini bahawa kaum Cina tidak menolak kepimpinan politik Cina tetapi mereka menolak kepimpinan politik MCA dan menggantikan dengan kepimpinan yang lebih baik iaitu DAP.
Begitu juga kata Khalid dengan orang Melayu, mereka bukan menolak kepimpinan Melayu tetapi ingin menggantikan Umno dengan kepimpinan yang lebih memberi manfaat kepada orang Melayu seperti PAS atau KeADILan.
Justeru katanya, pemimpin Umno termasuk Najib serta Mohd Noor sendiri perlu menarik balik kenyataan tidak bertanggungjawab mereka itu kerana ia bukan hanya melukakan hati kaum bukan Melayu bahkan akan terus memberi gambaran buruk tentang Malaysia yang sebelum ini sering diuar-uarkan sebagai contoh negara pelbagai kaum yang bersatu padu.