DenyutReformasi

Sudah tiba masa untuk rakyat tamatkan riwayat BN

Pilihan Raya Umum Ke-13 yang kita nanti-nantikan sekian lama, kini sudah menjelang tiba. 5 Mei depan dipilih sebagai hari penentu segala-galanya. Seluruh jentera PRU parti sejak hari pembubaran Parlimen minggu lepas, sudah digerakkan bekerja siang malam, tanpa henti sehingga hari pengundian, bersiap siaga untuk membimbing rakyat membuat keputusan yang betul buat masa depan generasi mendatang.




Di saat-saat genting ini, kita mengajak rakyat supaya memikir dan menimbang sedalam-dalamnya, apakah mereka rela untuk terbelenggu di bawah cengkaman rejim yang sudah bertakhta selama lebih 50 tahun, atau bangkit membuat islah atau reformasi.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, pada satu majlis di Putrajaya, 17 April lepas, meminta seluruh rakyat Malaysia memberi mandat kepada Pakatan Rakyat, sekali gus menamatkan kuasa BN.
Pakatan Rakyat, dengan kerjasama jitu PAS, KeADILan dan DAP, serta dibantu beberapa parti dan NGO yang prihatin, membuat tawaran yang terbaik, menerusi beberapa agenda yang diputuskan bersama.
Selepas PRU 2008, seawal tahun 2009 Pakatan Rakyat sudah mempunyai Dasar Bersama, yang menjadi teras kepada persefahaman politik dengan menjunjung Perlembagaan Negara.
Pakatan Rakyat berpegang kepada teras utama Perlembagaan, iaitu memartabatkan Islam sebagai Agama Rasmi negara, di samping memberi keadilan dan kebebasan kepada penganut agama selain Islam.
Pakatan Rakyat menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu, mempertahankan hak Melayu, bahasa dan adat budaya Melayu, sebagai kaum yang dominan dalam negara.
Pakatan Rakyat juga membentangkan agenda yang dimuatkan dalam Buku Jingga, Tawaran 100 Hari Pakatan Rakyat dan pelbagai program mensejahterakan rakyat, meliputi golongan muda, pendidik, anggota keselamatan, wanita dan warga emas.
Kesemua golongan ini akan mendapat manfaat besar, di bawah pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat.
Manfaat sebegini sudah dirasai rakyat di negeri-negeri Pakatan Rakyat. Di Kelantan, pelbagai program kebajikan dirintis dan dilaksanakan dengan baik.
Skim kafalah, untuk warga emas, untuk ibu tunggal, bantuan tunai segera kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang, amatamat menyentuh nurani rakyat.
Skim dan pelbagai bantuan ini, di perkembang dan dicontohi pemerintahan Pakatan di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Malah di Selangor, selama lima tahun ini, rakyatnya menikmati penggunaan air percuma 20 liter padu bagi setiap rumah.
Selama lima tahun ini juga, negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat, merupakan negeri yang bebas rasuah dan mendapat pujian Ketua Audit Negara, berikutan pengurusan kewangan yang cemerlang.
Kejayaan seumpama ini tidak mampu dicapai oleh BN di negerinegeri di bawah tadbir mereka. Kejayaan Pakatan membuatkan BN ghaflah dan gelabah.
Mereka sudah tidak mempunyai agenda yang menarik untuk rakyat.
Apa sahaja tawaran, apa sahaja yang dimuatkan Pakatan dalam manifesto, diambil, diolah dan diciplak.
Penciplakan yang berleluasa ini, adalah bukti bahawa, segala janji Perdana Menteri dalam program transformasinya, adalah gagal.
Ia juga membuktikan bahawa Program 1Malaysia, yang menjadi teras pemerintahan BN, dengan pelbagai bantuan tunai kepada rakyat, gagal membentuk kecenderungan rakyat untuk menyokong BN.
Rakyat hari ini sudah pandai dan bijak membuat perbandingan. Mereka tahu, ramai intelektual dan profesional, kini berada dalam Pakatan, manakala yang tinggal untuk BN, hanyalah pengampu yang kontang idea.
Selamatkan Malaysia, undilah Pakatan Harapan Rakyat./..Editorial Harakah