DenyutReformasi

Yang lucah itu Umno

Oleh Subky Latif 

YANG pasti tidak tahu menahu tentang tentang penciptaan video fitnah terhadap Setiausaha Agung PAS,
Dato’ Mustapa Ali ialah ulama muda Umno yang diketuai oleh Fathul Bari dan sekalian anggota Biro Agamanya.
Yang lain pula kena kemukakan bukti yang mereka itu perancangnya. Jika tiada bukti, payah mahkamah menerimanya.

Apapun semua perkembangan hingganya wujudnya video fitnah itu, tidaklah Umno dapat lari memikul tanggungjawabnya.
Tidak kira siapa saja yang menerbitkannya, maka Umno boleh ditanya, bagaimana budaya memfitnah sesiapa saja melalui video lucah dan segala gejala kebudayaan kuning berlaku di tengah-tengah masyarakat Malaysia secara terang-terangan sedang Islam adalah agama rasmi negara?
Yang terakhir sasaran fitnah itu adalah pemimpian PAS. Sebelumnya sejak 15 tahun terus menerus fitnah melanda Anwar Ibrahim.
Bukan pula suatu yang ganjil para pelakon wanita diperas ugut dengan video seks. Dr Chua Soi Lek terpaksa melepaskan jawatan Kabinet kerana kelemahan peribadinya telah dirakam dan diedarkan oleh musuh politiknya.
Sekalipun Soi Lek mengambil tanggungjawab atas kelemahan peribadinya itu, tetapi ia adalah gejala fitnah yang menular dalam masyarakat.
Apa yang terjadi pada pemimpin MCA itu bukanlah kerja Umno tetapi apakah Umno boleh terlepas daripada ditanya betapa dalam pemerintahannya selama 55 tahun merdeka, budaya buruk itu melanda masyarakat.
Yang terjadi itu adalah jenayah terhadap agama, kebudayaan, adab, pendidikan, sosial dan sebagainya.
Ia ada hubungan kaitnya dengan kegagalan Umno yang menjadi tulang belakang pemerintahan Barisan Nasional dalam mengawal bangsa, negara dan agama seperti yang dikehendaki oleh maqasid syariah yang pernah diperkatakan oleh Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Najib Razak.
Apa yang Najib kata maqasid syariah itu baik tetapi ketika dia menyebut topik itu bangsa Malaysia, orang Melayu dan Islam sudah pun rosak oleh gejala lucah, sundal dan fitnah video. Maqasid syariyah baru disebutnya tetapi tiada apa yang dapat dibuatnya, kerana payah mencari orang Umno yang benar-benar terlepas daripada liberalisasi lucah.
Sejak Umno berkuasa secara mutlak, tidak ada perhimpunan agung partinya yang tidak dipenuhi dengan kata-kata lucah dan mencarut, hingga pernah Tun Musa Hitam dalam amarannya kepada satu perhimpunan, jangan perhimpunan agung Umno dilihat sebagai medan mencarut dan lucah.
Sepanjang saya menjadi wartawan dan sebelum saya me nyertai PAS, saya berada di tengah-tengah perhimpunan parti itu. Adalah lumrah unsur carut itu menghibur persidangan.
Kalau perhimpunan yang penting buat Umno menggalakkan sikap liberal terhadap lucah, maka apa yang dapat menghalang budaya kuning itu menjadi wabak kepada masyarakat.
Di zaman bangsa Melayu dan umat Islam belum dicemari oleh liberalisasi lucah itu, pada orang Melayu kalimah memalukan tidak sebut kepada umum. Tidak mahu perkataan memalukan itu diketahui oleh kanak-kanak. Maka orang masa itu jarang menggunakan kalimah lucah sebaliknya menyebutkan sebagai kebudayaan kuning.
Setelah Melayu dimajukan dengan Umno, kebudayaan kuning diketahui oleh orang Dewan Bahasa dan Pustaka saja. Sekarang budak tadika pun tahu akan lucah dan lacur.
Apa yang melacurkan bangsa dan budaya orang Melayu dan Islam itu ialah dasar pelajaran liberalnya, adalah untuk menyalurkan kemajuan pelajaran dan ilmu dunia wi, tidak penjurus kepada pendidikan dan tarbiyah. Dasar pelajaran Umno melahirkan orang berilmu dan berpengetahuan tetapi kosong akhlaknya, hingga lucah, sumbang mahram, liwat menjadi hal biasa.
Liwat, sumbang mahram, zina dan sebagainya telah ada dalam kitab fikah kita. Tetapi kalimah itu belegar di kalangan bilik kuliah dan surau. Ia tidak disebut secara ketara dalam warta radio dan TV. Ia tidak dicetak sangat dalam akhbar.
Orang berpelajaran secukupnya tidak teragak-agak mengguna senjata yang dikatakan hanya dimiliki kerajaan bagi meletup hancur mayat yang dibunuh dan tidak segan silu menggandakan harga senjata dari luar seperti pembelian kapal selam Perancis. Skandal betina jadi hal lagi.
Tetapi kalimah mencarut dan lucah itu dipromosi secara mendadak oleh Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kepada khalayak umum apabila dia memecat Anwar Ibrahim sebagai timbalannya.
Dia berpegang kepada video klip untuk menghukum Anwar.
Dia tunjukkan video itu untuk membuktikan mangsanya adalah pelakunya. Banyak berpeluang menengoknya. Cuma ia tidak disiarkan di pawagam saja.
Perkembangan aib itu tidak sekadar pada video itu saja, bahkan mahkamah pun penuh dengan atmosfera lucah. Hingga tilam diusung masuk dan habis orang Pakistan, budak Indonesia dan orang keturunan India dijadikan saksi bagi menyokong bahan yang merangsang fitnah.
Bolehlah dikira Dr Mahathir menjadi pelopor meliberalkan media fitnah itu. Ia diikuti oleh beberapa fitnah politik lagi baik menggunakan video dan lain-lain.
Sepatutnya hal-hal yang mengaibkan peribadi itu tidak dijadikan senjata politik. Jika benar hal itu berlaku, jika boleh cuba ditutup. Akan tetapi Dr Mahathir sebagai tokoh de factor Umno tidak pernah berhenti meneruskan fitnah terhadap mangsanya.
Mustafa Ali menutup mulut tentang fitnah terhadapnya supaya ia ditangani melalui undangundang saja. Moralnya, jika boleh biar perkara buruk itu tidak menjadi polemik. Barang aib, sama ada benar atau palsu, tidak dihebahkan. Umno tidak mengaku ia angkaranya.
Memandangkan budaya lucah liberal itu menjadi sebahagian daripada watak parti itu, payah orang hendak mengenepikan penafian Umno itu. Tetapi Umno suka ia tidak didiamkan.
Entah mengapa pemimpinpemimpin Umno seperti Mustapa Mohamad dan Ahmad Maslan mencabar Mustafa Ali membuat penjelasan dan pemimpin PAS yang lain juga patut bercakap mengenainya.
Apakah ia ada peranan mencipa fitnah itu atau tidak, ia suka fitnah itu diriuhkan. Jangan matikan isu itu. Ini tanda Umno suka fitnah itu.
Cuma pemimpin-pemimpin itu tidak sedar betapa Najib juga tidak suka menjelas segala fitnah yang dihadapinya. Sepatutnya Mustapa Mohamad dan Ahmad Maslan minta Najib jangan membisu terhadap tuduhan skandalnya dengan Altantuya dan lain-lain yang di dedahkan oleh Deepak yang pernah berbaik dengannya dan isteri, dan apa yang disebut oleh Balasubramaniam dalam akaun bersumpahkan yang pertama.
Maka gesaan terhadap Mustafa Ali itu tidak kuat. Boleh ditenggelamkan oleh sikap membisu Najib.
Apapun fitnah video ini adalah gejala buruk keruntuhan akhlak bangsa rakyat termasuk Melayu, adalah keburukan besar berlaku di bawah pemerintah Umno-BN selain daripada rasuah dan berbagai- bagai kezaliman yang menimpa negara.
Bukanlah mudah untuk membetulkan semua kebinasaan umat itu. Umno tidak mampu membaikinya. Ia membiarkan saja apa hendak jadi.
Umno mesti memikul dosa dan tanggungjajwab itu. Ia wajar dihukum. Jika ia dibiarkan berkuasa lagi, apa yang sudah rosak itu akan binasa dan punah ranah.
Jika Qarun yang memfitnah Nabi Musa a.s. ditelan bumi dengan semua harta kekayaannya, maka Umno yang tidak dapat membendung fitnah dan tidak berjaya menghalang keruntuhan moral, malah suka fitnah itu diriuhkan, wajar juga menunggu waktu ditelan bumi bersama sejarahnya yang tidak pernah cemerlang.