Ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) berjalan rancak, negara
dikejutkan dengan berita pembunuhan membabitkan Timbalan Ketua Pengarah
Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Ne geri), Dato’ Shaharuddin Ibrahim, 58.
Allahyarham ditembak mati pada jam 8.15 pagi, 26 April lalu ketika
dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya. Berdasarkan laporan media,
mangsa yang duduk di bahagian penumpang depan kenderaan pacuan empat
roda (4WD) ditembak tiga das oleh seorang daripada dua lelaki yang
menaiki sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat di Lebuh Sentosa,
di Putrajaya.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis
Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah di lapor berkata, mangsa dikejarkan ke
Hospital Putrajaya dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.20 pagi.
Bagi pihak PAS, kita mengucapkan takziah kepada balu dan keluarga
Allahyarham dan mendoakan roh beliau dirahmati dan dalam keampunan Allah
SWT.
Amat mendukacitakan apabila jenayah kejam membabitkan
pegawai tinggi kerajaan itu berlaku di Putrajaya – pusat pentadbiran
kerajaan persekutuan, di hadapan balai polis dan di waktu siang hari
ketika ramai warga bandaraya itu sedang dalam perjalanan ke tempat
kerja.
Putrajaya diuar-uarkan sebagai bandar selamat dengan kawasan kejiranannya tidak berpagar.
Bagaimana sebuah ‘bandaraya selamat’ tiba-tiba menjadi lokasi
pembunuhan kejam adalah sesuatu yang patut dipandang serius oleh semua
pihak - kerajaan, parti pembangkang dan rakyat.
Insiden malang
ini berlaku hanya beberapa hari selepas seorang wanita separuh abad
ditikam mati oleh penjenayah bersenjata pisau ketika berjoging bersama
anaknya di Bukit Gasing, Petaling Jaya. Kejadian malang ini juga berlaku
di waktu siang.
Ketika membentangkan laporan program
transformasi negara dalam membendung kejadian jenayah, kerajaan pimpinan
Najib mendakwa kadar jenayah nasional telah berkurangan sebanyak 27
peratus dari tahun 2009 hingga 2012. Jenayah jalanan pula didakwa
menurun 39.7 peratus dalam tempoh yang sama.
Polis juga mendakwa kadar jenayah nasional jatuh enam peratus bagi suku tahun 2013 berban ding tempoh yang sama tahun lalu.
Statistik yang dibentangkan itu sayangnya tidak berjaya menghakis rasa
kegusaran dan tidak selamat rakyat terhadap jenayah. Tidak ada kampung
dan kawasan perumahan di negara ini yang sunyi daripada kegiatan pecah
rumah dan rompakan.
Sehubungan itu, kita menyambut baik saranan sesetengah pihak agar langkah drastik diambil bagi membendung kejadian jenayah.
Salah satu cadangan yang dilontarkan adalah menyusun semula guna tenaga
pasukan polis agar sumber tenaga manusia yang ada lebih difokuskan
kepada usaha menbendung jenayah.
Pasukan polis wajar dibebaskan
daripada tugas-tugas yang tiada kena mengena dengan tugas asasi mereka,
antaranya menjalankan kerja-kerja risikan politik.
Di waktu yang
sama, kita memandang serius keganasan yang berlaku sepanjang kempen
PRU13 berlangsung. Kejadian membakar kereta, melempar bom petrol,
memasang bahan letupan, melakukan keganasan dan ancaman fizikal dan
mengedarkan bahanbahan lucah perlu dibanteras.
Kita yakin bahawa
majoriti rakyat negara ini cukup matang berhadapan dengan perbezaan
politik dan tidak mudah terbawabawa dengan sentimen dan pemikiran sempit
sesetengah pemuka politik.
Jaminan diberikan Ketua Umum
KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa Pakatan Rakyat tidak akan
membantu penyokongnya yang didapati bertanggungjawab terhadap keganasan
berkaitan pilihan raya, amat tepat pada masanya.
Di masa yang
sama, para pemimpin BN perlu menyatakan komitmen yang sama dan tidak
bersikap lempar batu sembunyi tangan terhadap tindakan-tindakan samseng
dan provokatif para penyokong mereka.
Polis perlu bertindak tegas
bagi memburu pihak yang melakukan keganasan dan mendakwa mereka di
mahkamah. Jangan biarkan negara ini menjadi syurga bagi samseng politik.
Bersama kita mencegah jenayah.