Oleh Subky Latif
PAS akan kekal dalam Pakatan Rakyat dan Pakatan Rakyat pun tidak mahu mengeluarkan PAS daripada Pakatan Rakyat.
Kebanyakan
pemimpin dalam Pakatan menolak ia akan berpecah. Baik Ustaz Hadi dalam
kenyataan penyokong Khalid Ibrahim, dan Ustaz Nik Aziz dalam sokongan
terbukanya pada pendirian Ustaz Hadi menyebut perlunya kekuatan yang
ada pada Pakatan dipertahankan.
Dan Anwar Ibrahim sendiri tidak melihat perbezaan sikap tentang MB Selangor boleh memecahkan Pakatan Rakyat.
Hanya
Lim Guan Eng saja kata ia akan pecah. Tetapi saya tidak pasti atas
pandangan Lim Kit Siang. Saya tidak fikir Guan Eng akan meneruskan
andaiannya.
Maka sekarang tidak berbangkit lagi pendirian Ustaz Hadi boleh memecahkan Pakatan.
Tidak berbangkit lagi PAS berada di persimpangan jalan mahu bersendirian atau keluar daripada Pakatan.
Ustaz
Hadi hanya tidak setuju Khalid digantikan atas alasan yang tidak kuat.
Ustaz Hadi tahu akan reaksi banyak atas kenyataannya. Ustaz Hadi tidak
kata ia sikap muktamad pertinya. Beliau berharap rakan-rakannya dalam
PAS bersetuju dengannya dan pandangan Pesuruhjaya PAS Selangor,
Iskandar Samad.
Dengan pendirian dua tokoh utama ulama PAS ia disokong oleh akar umbi PAS.
Pada
saya, keduanya telah membuat sikap yang betul. Krisis MB Selangor itu
boleh menghakis sokongan umum kepada Pakatan khususnya di Selangor.
Jika hakisan itu berlaku, ia bukan sekadar Adun PAS yang ada di
Selangor tidak dapat dipertahankan, Adun dan MP PKR pun tidak dapat
dipertahankan.
Sama ada PAS terkeluar daripada Pakatan atau
sokongan pengundi terhakis, bukan saja ia mengancam beberapa MP PAS
seperti Parit Buntar, Kota Raja, Sepang, Pokok Sena dan lain-lain, MP
PKR juga akan terjejas seperti Kuala Kedah, Gombak, Pandan dan
lain-lain.
Yang ada di persimpangan jalan atas krisis MB itu bukan sekadar PAS dan Pakatan Rakyat tetapi PKR sendiri.
Adakah PKR hendak meneruskan penggantian atas Khalid atau mengekalkannya sehingga penggalnya tamat?
Adakah
PAS campur tangan atas urusan rumah tangga PKR? Tidak mudah untuk
mengatakan PAS campur tangan dalam urusan parti lain. PAS tidak kisah
apabila PKR menggantikan Khalid sebagai ketua PKR Selangor atau
pemilihan parti itu tidak menyokong Khalid.
Tetapi Menteri
Besar adalah urusan bersama. PAS mesti tahu dan dirundingi apabila MB
hendak digantikan kerana di bawah MB itu ada exco PAS. Setakat ini
keputusan itu adalah sebelah pihak. Ia dimaklumkan saja PAS dan DAP.
Jika
perlantikan MB kedah dan Kelantan PKR tidak campur tangan ia bukan
alasan yang cukup. Kiranya PKR merasakan ada yang tidak kena dalam
pelantikan dan perjalanan MB di bawah PAS, maka adalah kewajaran semua
pihak memberikan pandangan. Kemudian berbincanglah.
Apabila
PKR dan DAP menolak percubaan PAS hendak membawa usul persendirian
hudud ke Parlimen, maka PAS tetap mengekalkan sikapnya untuk terus
dengan Pakatan dan tidak pernah mencerca penolakan itu.
Setakat
ini PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno dalam menangani krisis di
Selangor itu dan PAS dipercayai tidak mahu ada pilihan raya baru di
Selangor. Yang Ustaz Hadi mahu krisis itu ditamatkan dengan mengekalkan
apa yang ada. Kebijaksanaan Anwar amat dikehendaki bagi mengekalkan
pengaruh Pakatan. Kenyataan sikap Ustaz Hadi itu tidak memecahkan
Pakatan bagai satu azimat. -