Oleh Ng Kee Seng Kini Menteri Pertahanan yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin
Hussein membakulsampahkan teori Utusan Malaysia bahawa CIA terlibat di
dalam kehilangan MH370. Adakah beliau serta kerajaan akan menyelar
lidah rasmi mereka itu sepertimana media asing?
Hishamuddin
menolak cadangan Utusan minggu lepas bahawa agensi perisikan persekutuan
Amerika (CIA) memainkan peranan di dalam kehilangan pesawat Boeing MAS,
sambil membandingkan laporan bersifat spekulasi itu dengan media Barat.
Beliau berkata mereka bebas berbuat begitu. “Akhirnya, jika mereka
membuat laporan palsu, mereka hilang kredibiliti,” kata beliau kepada
wartawan ketika melawat persediaan bagi Pameran Perkhidmatan Pertahanan
di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Wah! Dahulu Hishamuddin ada berkata Pejabat Peguam Negara mengkaji
tindakan menyaman media, terutamanya dari luar negara, yang membuat
spekulasi.
Adakah Hishamuddin akan menyaman Utusan, lidah rasmi Umno itu?
Utusan Malaysia selalunya akan terlepas dengan laporann yang berbaur perkauman dan agama yang mengancam perpaduan negara.
Pada 7 April, Utusan Malaysia berkata, sudah tiba masanya berfikir di
luar kotak tentang insiden ini. Katanya, ia mungkin satu usaha
mengeruhkan hubungan di antara Malaysia dan China.
Berbekal
teori konspirasi bahawa CIA terlibat di dalam peristiwa September 11,
akhbar itu berkata dakwaan seperti itu tidak wajar diketepikan sebagai
tidak masuk akal.
“Jika CIA boleh mengatur serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York
pada Sept 11, 2001, mereka juga mampu melakukan sesuatu berhubung
MH370,” tulis penolong pengarang Utusan Malaysia Ku Seman Ku Hussein.
Hishamuddin bagaimanapun berkata penyertaan Amerika Syarikat di dalam pameran perkhidmatan pertahanan Asia tidak menyokong teori itu.
“Jika CIA terlibat, mereka tidak mungkin berminat menyertai pameran ini secara besar-besaran,” katanya.
Misteri kehilangan MH370 telah menimbulkan pelbagai spekulasi dan
teori konspirasi yang diputar media cetak dunia dan laman Internet. Ini
termasuk pesawat MAS itu didakwa mendarat di pengkalan tentera AS Diego Garcia yang terletak di tengah-tengah Lautan Hindi.
Seorang jurucakap kedutaan AS di Kuala Lumpur menafikan dakwan itu.
Penafian Hishamuddin kali ini merupakan yang kedua dalam tempoh dua hari.
Beliau juga disoal berhubung laporan muka depan New Straits Times,
yang mendakwa pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid membuat panggilan
kecemasan apabila pesawat itu berada di dalam ruang udara berhampiran
Pulau Pinang.
“Saya tidak boleh komen kerana jika benar, kami sudah tentu tahu lebih awal,” katanya yang dipetik Bernama.
Dalam pada itu, lebih 50% rakyat Malaysia percaya kerajaan Barisan
Nasional tidak telus di dalam memberi maklumat tentang kehilangan MH370,
mengikut kajiselidik portal The Malaysian Insider (TMI).
Daripada 1,029 yang disoal di dalam kajiselidik yang dilakukan Merdeka
Centre, 54 peratus berkata Putrajaya tidak telus di dalam berkongsi
maklumat.
Dua puluh enam peratus lagi setuju kerajaan telus di
dalam memberi penerangan sementara 20 peratus lagi tidak tahu samada
kerajaan jujur atau tidak.
Rakyat sememangnya mempersoal
ketelusan kerajaan di dalam menangani isu MH370 ini kerana terlalu
banyak percanggahan di dalam maklumat yang disampaikan. Bahkan muatan
kargo pesawat itu masih disembunyikan.
http://bm.theantdaily.com