DenyutReformasi

Lantik Najib pimpin BN semula kerja gila, kata Khairy

BARISAN Nasional (BN) tidak akan berjaya memenangi semula pilihan raya sekiranya melantik Najib Razak memimpin parti itu, kata Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata pelantikan Najib sebagai pengerusi majlis penasihat BN itu sebagai satu “kerja gila” kerana mengharapkan hasil berbeza dengan tindakan yang sama.


“Maksud kegilaan bila kita buat perkara sama tapi harap hasil lain. Kita ambil balik Najib minta keputusan lain,” katanya dalam ucapan di mesyuarat Umno Pedang Rengas hari ini.

Tegasnya, Zahid Hamidi juga perlu terus bertindak sebagai presiden Umno dan tidak harus dibayangi oleh Najib, bekas presiden parti itu.

“Zahid harus bertindak sebagai presiden Umno, kami akan terus bersuara,” katanya yang menyokong seruan supaya Zahid tidak bertindak seperti setiausaha Najib.

Seruan sama disuarakan ketua Umno Padang Rengas, Nazri Aziz yang menjemput Najib bersemuka sekiranya tidak berpuas hati dengan tindakan mereka menentangnya sebagai penasihat BN.

“Kalau berani jumpa kita, naik atas pentas saya boleh cakap semua. Soal ambil tindakan apa salah saya buat, Najib bukan presiden, kita tak serang presiden.

Nazri juga menegaskan beliau akan terus bersuara berkenaan isu itu, walaupun berhadapan risiko dibuang daripada parti.

Beliau mengingatkan, tindakan Umno menyingkirkan pemimpin yang lantang bersuara juga menyebabkan parti itu kecundang.

“Bila kita buang orang kerana suarakan pandangan yang mungkin berbeza sedikit kita buang. Dulu Najib buang Shafie Apdal, buang Muhyiddin Yassin tengok apa dah jadi,” katanya.

“Saya tak gentar, masa bila saya takut, nak buang buanglah, saya tak pernah serang presiden, adakah mereka anggap Najib presiden lagi,” katanya.

Katanya, beliau juga berharap Zahid dapat memainkan peranannya sebagai presiden Umno yang sebenar dan tidak membiarkan dirinya dibayangi Najib.

“Saya nak presiden bertindak sebagai presiden dan jangan datangkam masalah baru kepada kami dengan lantik orang lain jadi presiden bukan dipilih perwakilan,” kata Nazri lagi.

Ucapan itu menjawab kenyataan Ahmad Zahid semalam mempertahankan tindakannya melantik Najib sebagai penasihat BN, dan turut menyerang Khairy kerana menentang keputusan itu.

Ahmad Zahid menyifatkan pemimpin Umno yang mengkritik pelantikan Najib sebagai gila talak, kerana  tidak mahu menerima hakikat kalah dalam perebutan jawatan presiden Umno