DenyutReformasi

Sengaja kaitkan Pakatan untuk kelirukan rakyat

Oleh AZIZ MUDA

KUALA LUMPUR: Kerajaan BN diingatkan tidak membuat tuduhan berbahaya terhadap Pakatan Rakyat dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, khususnya berhubung kaitannya dengan aktiviti Nur Misuari.
Bekas Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Dato’ Abdul Ghafir Hamid berkata, laporan mengaitkan kegiatan bekas Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari dengan Anwar tidak berasas sama sekali.

Katanya, dakwaan itu spekulasi sengaja dibuat BN dan sekiranya pihak Pakatan ingin melakukan spekulasi seperti itu terhadap BN, ia juga boleh dibuat oleh Pakatan Rakyat.
“Tiada bukti bagi perkara itu. Kalau ada bukti kemukakan hujahnya. Janganlah sengaja membangkitkan emosi orang,” katanya ketika dihubungi 26 April lalu.
Media pro-BN pada 25 April lalu melaporkan, pihak berkuasa Malaysia sedang menunggu laporan penuh siasatan pasukan keselamatan Filipina mengenai 35 orang pengganas Sulu yang ditembak mati di Pulau Sibutu, Filipina pada 20 April lalu yang didakwa cuba memasuki Sabah untuk melakukan sabotaj terhadap PRU13.
Siasatan itu turut merangkumi dakwaan bahawa kumpulan pengganas yang diketuai Jamalul Kiram 111 itu didalangi Nur Misuari yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin pembangkang di Malaysia.
Mengulas lanjut, Abdul Ghafir berkata, Menteri Pertahanan dan pihak BN jangan sekali-kali membuat tuduhan yang tidak berasas mengenai Pakatan Rakyat dan Anwar, lebih-lebih lagi berhubung soal keselamatan negara.