Ahli Majlis Pimpinan Pusat KeADILan, Azan Ismail berkata, tindakan cetek NGO berkenaan khususnya PPIM tidak akan memulih hubungan antara kaum di negara ini bahkan imej Islam yang disandar oleh pertubuhan itu bakal terjejas.
“Islam menjadi mangsa fitnah hasil sikap kebudak-budakan PPIM kerana mereka gagal menterjemah wajah sebenar Islam sebagai agama perpaduan dan kasih sayang.
“Tindakan boikot tersebut tidak mempunyai asas kukuh malah jika dilakukan, kesan buruknya akan dirasai pengguna yang bergantung kebanyakannya kepada peniaga Cina untuk mendapatkan barangan keperluan harian,” kata Adun Bandar yang baharu itu kepada Keadilan Daily.
Pada 14 Mei lalu, sebuah gabungan NGO Melayu yang dinamakan Gabungan NGO Islam 1Malaysia yang dianggotai PPIM, Suara Anak Muda 1Malaysia, dan Majlis Belia Palestin Malaysia dilapor media sebagai menggesa orang Melayu memboikot perniagaan bangsa Cina kononnya kerana memberi dana kepada Pakatan Rakyat dalam PRU lalu.