DenyutReformasi

Teruja melihat penglibatan anak muda

PILIHAN raya kali ini merupakan pengalaman yang sangat mengujakan bagi diri saya. Saya mengundi di Dun Kuala Semantan di Temerloh. Calon PAS bagi Dun Kuala Semantan ialah Syed Hamid Syed Mohamad dan calon PAS bagi Parlimen Temerloh ialah Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi.
Sebelum ini PAS hanya pernah menguasai Dun Kuala Semantan tetapi tidak pernah menguasai Parlimen Temerloh. Namun pada pilihan raya kali ini (PRU13) PAS berjaya menguasai kedua-duanya sekali dengan majoriti kemenangan yang agak besar. Saya berasa cukup berbesar hati.

Tetapi apa yang paling mengujakan saya pada pilihan raya kali ini ialah melihat kepada sambutan hangat yang diberikan oleh penduduk tempatan terhadap PAS serta penglibatan anak muda yang luar biasa aktifnya dalam berkempen dan bekerja untuk memenangkan PAS.
Seoalah-olah ada kebangkitan baru pada pilihan raya kali ini. Berbeza dengan pilihan raya sebelum ini anak-anak muda tidak lagi segan silu atau teragak-agak untuk menghampiri markas-markas PAS di sini, menyertai programprogram kempen yang dianjurkan serta bersedia pula menghulurkan tenaga.
Gerak kerja kempen yang dilakukan sepanjang tempoh yang diberikan berjalan cukup lancar dengan kehadiran anakanak muda ini. Mereka sedia menyumbang tenaga sama ada memasang poster, menjaga lalu lintas sewaktu program kempen, menjaga keselamatan markas dan bilik gerakan dan sebagainya.
Berbeza dengan dulu mereka kini secara sukarela tanpa rasa malu berkempen untuk parti di tepi-tepi jalan. Mengibarkan bendera pada kenderaan mereka sekali gus memeriahkan suasana.
Kami golongan veteran sangat berbesar hati kerana golongan ini sudah tampil mengambil alih tugas dan peranan untuk memenangkan parti dalam pilihan raya yang diadakan - tidak lagi meletakkan tanggung jawab pada golongan veteran yang tinggal beberapa kerat ini.
Pada hari mengundi lalu, daerah Temerloh cukup meriah sekali dengan gelagat golongan muda ini berkempen buat kali terakhir untuk memenangkan parti. Kenderaankenderaan mereka bersimpang siur mengibarkan bendera PAS.
Suasana seperti ada perlawanan bola sepak yang mendapat sambutan hangat.
Untuk akan datang saya berharap semakin ramai anak muda sedar tentang perjuangan Pakatan Rakyat dan sedia pula tampil memainkan peranan untuk mengubah teraju negara. Inilah jenis anak muda yang kita perlukan untuk mencorakkan masa depan negara.
MAT VETERAN
Emel