DenyutReformasi

Cukup beri BN 5 dekad

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
SEPANG: Rakyat telah memberi peluang kepada BN untuk berkhidmat selama lebih lima dekad namun parti
itu gagal menjaga kebajikan mereka, kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin.
Hanipa yang juga calon PAS bagi kawasan Parlimen Sepang berkata, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, peningkatan kos sara hidup, dan bebanan hutang peribadi yang ditanggung rakyat membuktikan kegagalan BN mentadbir ekonomi negara.

Sehubungan itu, beliau berharap slogan “Ini Kalilah” menjadi mesej penting jentera pilihan raya parti kepada pengundi untuk mereka menamatkan pemerintahan BN dan meilih kerajaan baru yang diterajui Pakatan Rakyat.
“Kalau dahulu orang kata Pakatan Rakyat (PAS, DAP dan KeADILan) tidak boleh memerintah, namun, selepas Pilihan Raya Umum 2008, kita telah buktikan bahawa Pakatan Rakyat mampu memerintah Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang dengan lebih baik berbanding negeri-negeri diperintah BN,” katanya.
Berucap pada program bersama anak muda di Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, dekat sini, baru-baru ini Hanipa menambah, kemampuan ditunjukkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam mentadbir negeri membuktikan kemampuan PAS, DAP dan KeADILan untuk mentadbir negara.
“Kalau kita boleh mentadbir Selangor, hakikatnya kita dapat yakinkan masyarakat bahawa kita boleh menerajui pemerintahan negara,” kata Hanipa. Menurut beliau, pilihan raya umum kali ini adalah peluang terbaik untuk rakyat mengubah kerajaan pusat.