DenyutReformasi

Hidup Pakatan, hancur Barisan

Oleh MOHD RASHIDI HASSAN

PILIHAN Raya bukan soal angka semata-mata. Memanglah bila kita masuk pilihan raya, kita hendak menang, tidak ada siapa yang hendak kalah.

Yang penting semangat dan komitmen kita dalam perjuangan. Jika kita menang, kita harus memelihara amanah yang diberikan rakyat sebaik-baiknya. Jika kita tewas, kita harus bermuhasabah, kalau-kalau ada beberapa elemen yang merencatkan kemenangan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang baru berlalu, banyak keputusan yang di luar jangkaan. Ada kerusi yang kita yakin menang, jadi kerusi kalah. Ada kawasan yang sudah hendak menang, tiba-tiba Allah berikan kemenangan.

Bagi Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, elok jika semua pihak menerima keputusan pilihan raya ini dengan penuh kesyukuran dan kesabaran.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, "Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengundi yang telah mengundi PAS dan Pakatan Rakyat.

"Terimalah keputusan ini dengan penuh kesyukuran dan kesabaran.

"Yakinlah sesungguhnya janji Allah pasti akan tiba," katanya.

Bagi penulis, jika PRU ini dijalankan dengan telus dan demokratik, sudah lama BN tumbang. Kita boleh lihat sahaja bagimana komitednya rakyat, yang sudah membuat perubahan pada 2008, tetap istiqamah menolak BN kali ini.

BN hanya diselamatkan dengan pengundian awal, undi pos dan undi dari Sarawak dan Sabah. Di Semenanjung, sudah lama rakyat tidak mahu kepada BN.

Pakatan Rakyat konsisten dengan pendirian bahawa memang wujud unsur-unsur penipuan. Jika tidak menipu, bukan BN namanya.

Yang penting, rakyat menolak propaganda BN. Apa pun yang mereka kata, rakyat konsisten dan tidak berganjak menolak cara politik kotor, jijik dan jahat.

Apa pun yang dikatakan orang-orang Umno, mereka harus sedar bahawa segala propaganda, tipu helah dan fitnah menerusi semua saluran TV dan akhbar utama, semuanya tidak terpakai dan gagal mempengaruhi rakyat.

Apabila sudah dapat keputusan yang lebih teruk daripada 2008. BN cuba membelit keadaan dengan mendakwa kali ini adalah tsunami kaum Cina.

Apakah mereka tidak sedar, rakyat yang sudah menolak BN pada beberapa PRU lepas, akan tetap tolak BN, walau atas apa alasan sekalipun?

PRU kali ini kita harus tabik kepada anak-anak muda. Mereka begitu komited dan bekerja bersungguh-sungguh untuk menyokong Pakatan Rakyat.

Mereka mengibarkan bendera dengan berani. Mereka berkempen dengan penuh hebat dan gigih.

Insya Allah, selepas saluran satu yang masih tegar menyokong BN sudah pupus, ia akan digantikan dengan majoriti penyokong Pakatan pula.