SHAH ALAM: Dapatan kajian Universiti Selangor (Unisel) menunjukkan
Pakatan Rakyat (Pakatan)
mencatatkan 50.6 peratus manakala BN mencatat
49.4 peratus dalam aspek jangkaan menang dalam PRU13.
Di peringkat
negeri Selangor pula, Pakatan mencatatkan 61.4 peratus dan BN 38.6
peratus dalam jangkaan menang dalam PRU13. Kajian tersebut dilakukan ke
atas 1,015 responden terdiri daripada pengundi berdaftar di Selangor
bermula 1 Februari hingga 31 Mac lalu.
Pembentangan oleh
Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial Unisel, Dr Muhammad
Shamshinor Abdul Azziz itu turut menunjukkan dapatan kajian berkaitan
parti yang dijangka menang dalam PRU 13 di peringkat persekutuan dan
negeri.
Di peringkat Persekutuan, responden di kalangan pengundi
Cina mencatatkan peratusan tertinggi yang menjangkakan Pakatan akan
menang iaitu sebanyak 53.5 peratus manakala sebanyak 46.5 peratus
menjangkakan BN akan menang.
Bagi kaum Melayu pula, sebanyak 52.3 peratus menjangkakan Pakatan akan menang dan 47.7 peratus menjangkakan BN akan menang.
Manakala responden India cenderung meramalkan BN akan menang di
persekutuan iaitu sebanyak 62.9 peratus dan 37.1 menjangkakan Pakatan
akan menang.
Sementara itu, kajian berkaitan persepsi ketokohan
kepimpinan di Negeri Selangor mendapati kedudukan Tan Sri Khalid Ibrahim
lebih tinggi berbanding Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Najib
Razak. Sebanyak 63.1 peratus responden meyakini kepimpinan Khalid, 58.4
peratus meyakini kepimpinan Anwar dan 51.2 peratus meyakini kepimpinan
Najib.
Pembentangan kajian impak program kerajaan terhadap pola
pengundian di Selangor menjelang PRU yang diadakan di Menara Yayasan
Selangor itu turut turut mendapati inisiatif 20 meter padu air percuma
sebulan paling disukai iaitu sebanyak 91 responden menyokongnya.
Kajian berkaitan persepsi positif terhadap program kerajaan negeri
mendapati sebanyak 79 peratus menyokong program Tabung Warisan Anak
Selangor (Tawas), 77 peratus menyokong program baucar RM100 Jom Shopping
Warga Emas, 83 peratus menyokong hadiah anak masuk universiti RM1,000
dan 83 peratus menyokong khairat kematian RM2,500.