Oleh ARIF ATAN
KUALA LUMPUR: Semua pengundi perlu membuat pilihan
bijak dengan mengundi calon-calon Pakatan
Rakyat di seluruh negara pada
hari mengundi 5 Mei ini. Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, hanya
dengan memilih Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, KeADILan dan
DAP, rakyat Malaysia dapat membuka lembaran baru untuk mendedahkan apa
yang benar dan apa yang fitnah.
Katanya, golongan yang memfitnah
beliau dengan tuduhan menjadi dalang peristiwa 13 Mei 1969 masih terus
berbuat demikian tanpa sebarang tindakan tegas daripada pihak yang
berkuasa, termasuk Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak dan calon
saingan beliau bagi Parlimen Gelang Patah, Dato' Abdul Ghani Othman.
"Golongan yang memfitnah saya telah memutarbelitkan fakta untuk
mengelirukan pengundi, terutamanya orang Melayu, dengan mengapi-apikan
sentimen perkauman," ujarnya dalam satu kenyataannya kepada Harakah.
Menurutnya, mereka menyangka rakyat Malaysia masih hidup dalam
tahun-tahun 1960- an yang mudah terpengaruh dengan emosi kaum.
"Oleh itu, saya dengan rendah diri, memohon agar semua pengundi Malaysia
menjatuhkan hukuman berat kepada golongan penyebar fitnah ini bersama
dengan para pemimpin yang merestui perbuatan keji mereka dalam PRU13
ini," katanya lagi.
Tambah Kit Siang lagi, seperti yang
dijelaskan, dengan mandat baru oleh pengundi Malaysia, beliau akan
mencadangkan kepada Parlimen dan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan
Pakatan Rakyat supaya menubuhkan satu Suruhanjaya Bebas Parlimen untuk
menyiasat apa, mengapa dan siapa punca sebenar berlakunya Tragedi 13 Mei
1969.
Ini, ujarnya adalah penting kerana sampai sekarang tiada
siapa yang tahu mengapa, apa dan siapa yang menjadi punca peristiwa 13
Mei itu. Lagi pun, kata calon DAP Parlimen Gelang Patah itu, Kerajaan
Umno-BN selama ini tidak mempedulikan cadangan itu.
Malah,
tambahnya pimpinan Umno-BN terus membenarkan penyokong mereka menabur
fitnah menuduh beliau menjadi dalang peristiwa itu.
Baginya,
PRU13 ini bukan lagi sekadar persaingan di antara Pakatan Rakyat dengan
BN tetapi perjuangan di antara seluruh rakyat Malaysia menentang BN yang
semakin teruk korupsi mereka dan tidak boleh lagi dipulihkan keangkuhan
kuasa mereka.
"Dengan itu, saya menyeru supaya semua pengundi
membuat pilihan yang bijak, terbaik dan amat penting untuk diri,
keluarga dan masyarakat serta masa depan anak-anak kita pada hari Ahad 5
Mei ini untuk membuka satu lembaran baru untuk Malaysia. "Ubah! Ini
kali lah!" tegasnya.