DenyutReformasi

Usah jadi tuan rumah Sukan Olimpik

Oleh LIM HONG SIANG


SESEBUAH masyarakat bakal dilanda krisis seandainya gagal membezakan antara "negara", "kerajaan" dengan "parti politik". Secara ringkasnya, Umno adalah parti politik. Seandainya Umno diberi mandat menjadi kerajaan, maka ia harus berkhidmat untuk semua rakyat, termasuk yang menyokong dan menentangnya.
Ini kerana dana awam yang diperolehi adalah sumber negara yang dimiliki semua rakyat. Penentang Umno tetap membayar cukai seandainya Umno memerintah. Sesiapa sahaja boleh menentang kerajaan, tetapi menentang kerajaan tidak bermaksud antinegara. Rakyat menegur dan mengkritik kerajaan demi kebaikan negara.

Konsep ini seharusnya dijelaskan sejelas-jelasnya melalui pendidikan. Namun, mana-mana kerajaan diktator dalam dunia ini akan cuba memutar-belitkan, atau mengelirukan konsep yang asas ini. Parti politik disamakan dengan kerajaan dan kemudian disamakan dengan negara. Maka pendirian menolak Umno disamakan dengan tindakan "anti-Malaysia", dalam konteks negara kita.
Cubaan mengelirukan konsep ini umpama "membasuh otak" (brain-wash), menerapkan mesej-mesej yang tidak benar ke dalam otak anggota masyarakat, dan sebaik-baiknya bermula dari peringkat kanak-kanak. Pernah saya menulis bagaimana kerajaan China cuba memperkenalkan mata pelajaran "Pendidikan Nasional" dengan motif sedemikian di Hong Kong, dan ditentang keras oleh penduduk wilayah itu dengan laungan slogan "Jangan usik anak saya", "Selamatkan otak anak saya".
Dalam satu pertemuan antara pertubuhan ibu bapa dengan Pengarah Jabatan Pendidikan berhubung isu ini, wakil ibu bapa mempertikaikan matlamat mata pelajaran Pendidikan Nasional, yang didakwa menjurus ke arah pembentukan identiti orang China. Bantahan ini disebabkan kesedaran masyarakat Hong Kong bahawa Parti Komunis China cuba menerapkan ideologinya secara halus melalui pendidikan untuk membentuk identiti generasi masa depan. Dengan tegas wakil ibu bapa mempersoalkan, "Apa kata seandainya pelajar enggan mengiktiraf identitinya sebagai orang China?"
"Ramai yang meninggalkan sini ke tempat lain saban tahun, tiada masalah." Jawapan Pengarah Jabatan Pendidikan Hong Kong yang agak mirip dengan nada Menteri Dalam Negeri kita ini telah mencungkil kemarahan wakil ibu bapa, lantas mencabar, "Berapakah angka peserta demonstrasi yang diperlukan pada hari esok supaya cukup untuk anda batalkan matapelajaran ini?"
Kejadian ini berlaku pada tahun lalu, dan kebangkitan rakyat di jalan raya akhirnya berjaya mematahkan usaha kerajaan China untuk meneruskan mata pelajaran ini di Hong Kong. Saya tidak pasti apakah kesudahannya jikalau ia berlaku di Malaysia. Mungkin ia dipandang remeh, kerana dengan terang-terang Biro Tatanegara sedang membasuh otak anak kita, tetapi tiada bantahan keras dari ibu bapa sehingga hari ini. Ertinya kita melepaskan tangan begitu sahaja membiarkan otak anak kita dibasuh.
Kesannya kita dihina Menteri Dalam Negeri. Lantaran ketidakpuasan terhadap sistem pilihan raya yang tidak adil, kita dicabar untuk berhijrah ke luar negara. Menterinya, Zahid Hamidi lupa bahawa penyokong Pakatan Rakyat adalah majoriti 51% - belumpun kita sebagai majoriti bersuara, beliau yang masuk kabinet dengan sokongan 47% pula berlagak untuk menghalau kita.
Saya mengisahkan semula isu ini untuk mengingatkan betapa pentingnya pembentukan nilai dalam jatidiri setiap insan. Kita sedia maklum bahawa gelanggang pilihan raya tidak sama rata. Umno-BN diberi lampu hijau untuk menyogok pengundi dengan BR1M dan wang ringgit. Penjawat awam diugut sewenang-wenangnya, meskipun gaji mereka diperuntukkan daripada dana negara dan bukan tabung Umno. Keganasan dibiarkan bermaharajarela, dengan anak muda yang membuat flashmob untuk menyokong Pakatan Rakyat, dibelasah sehingga muka berdarah. Pakatan tidak diberi akses media yang setimpal dengan BN. Dakwat kekal menjadikan jari kiri kita sebagai bahagian yang paling bersih dalam PRU13. Paling dahsyat, sistem pilihan raya kita buat kali pertama mengangkat parti yang mendapat sokongan minoriti sebagai kerajaan!
Kita tidak perlu menunggu sehingga tahun 2019 untuk menyaksikan bagaimana Malaysia muflis dari segi nilai. Selepas PRU13, jangan Malaysia berangan-angan untuk memohon menjadi tuan rumah acara sukan seperti Olimpik, Piala Dunia dan sebagainya. Sememangnya kita akan disindir sehabis-habisnya. Dunia antarabangsa akan mengejek, apakah gelanggang bola sepak condong sebelah, dengan gol yang berlainan saiz? Apakah pasukan yang menjaringkan dua gol akan menewaskan pasukan yang menjaringkan tiga gol? Apakah pengadil akan membutakan diri apabila pemain pasukan negaranya mengasari pemain pasukan saingan?
Kesemua ini bakal menjadikan orang Malaysia malu untuk mendabik dada di persada antarabangsa. Malaysia akan dipandang sebagai satu masyarakat yang memberi lampu hijau kepada ketidaksaksamaan, malah rela dihina dengan keangkuhan menteri berbunyi "anda boleh berhijrah seandainya anda tidak suka sistem pilihan raya kita".
Persoalannya sistem ini direka oleh kerajaan yang sedia ada untuk memenuhi kepentingan parti pemerintah yang asal. Apabila sistem demokrasi dipintal sehingga yang minoriti boleh memerintah yang majoriti, maka jelas sesuatu yang tidak kena dengan sistem ini. Sebagai rakyat, kita ada hak untuk menegur, mengkritik dan mengubah sistem ini.
Barangkali kita perlu meneladani masyarakat Hong Kong, dengan bertanya kepada Zahid, "Berapakah angka peserta demonstrasi yang diperlukan pada hari esok supaya cukup untuk anda mengubah sistem pilihan raya ini?"