Oleh Khairul Naim Rafidi
Saya begitu tertarik apabila ramai yang “melabon” tentang kisah-kisah
'penipuan' dan lakonan citrawarna SPR. Tidak kira sebelum dan selepas
PRU, SPR sering menjadi subjek kepada kemarahan banyak pihak yang
mengkritik kebebasan badan tersebut.
Antara isu yang menjadi perdebatan hangat adalah berkenaan dengan pemilihan anggota suruhanjaya itu sendiri.
Dalam
hal ini saya sarankan kita selak kembali helaian undang-undang
tertinggi Perlembagaan Persekutuan. Dalam perkara 114(1) memetik :
“Suruhanjaya
Pilihanraya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas
berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah mengandungi seorang
pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima orang ahli lain.”
Jelas
dalam undang-undang tersebut menyatakan bahawa tujuh individu tersebut
dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat (consultation) daripada Majlis Raja-Raja.
Hal
ini secara kiasnya berbeza dengan pelantikan – pelantikan lain yang
memerlukan nasihat Perdana Menteri. Oleh itu, YDPA bertanggungjawab
memastikan pelantikan bebas daripada pengaruh politik.
Namun,
kejadian demi kejadikan menunjukkan bahawa sokongan rakyat kepada SPR
seolah-olah berkurangan dan ini adalah perkara yang membimbangkan.
Dalam
‘The Truth’ yang disediakan oleh SPR menyatakan dengan jelas bahawa
hal-hal korupsi, pengundi hantu dan sebagainya adalah tidak benar. Malah
kes seperti pengundi hantu tidak pernah langsung dibuktikan dalam
mahkamah sepanjang sejarah PRU.
Saya terkejut membaca kenyataan
tersebut kerana dalam kes Haris Mohd Salleh v Ismail Majin [2000] 3 MLJ
434 jelas menunjukkan bahawa pilihan raya 1998 di Likas adalah tidak sah
kerana terdapat unsur seperti konspirasi, pengundi hantu dan amalan
rasuah. Hakim Datuk Muhammad Kamil Awang dengan jelas menyatakan dalam
konklusinya :
“In conclusion, I would declare that the 1998
Electoral Roll for Likas Constituency (N13) is illegal, and that the
election held in March 1999 for Likas Constituency is null and void. I
will inform the SPR of this decision in due course.”
Hal ini
mungkin akan menambahkan lagi kegusaran rakyat berkenaan dengan
integriti dan ketelusan SPR dalam menjalankan hal pilihan raya.
Hakikatnya, rakyat harus ingat bahawa perlantikan oleh YDPA ini harus
mendapat persetujuan awam seperti yang tercatat dalam perkara 114(2),
“Pada
melantik ahli-ahli Suruhanjaya Pilihanraya, YDPA hendaklah memandang
kepada mustahaknya diadakan suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat
kepercayaan awam”
Namun begitu, saya kurang bersetuju
dengan tindakan segelintir individu yang ingin mendesak supaya SPR
meletakkan jawatan dan memohon supaya badan itu dipilih oleh rakyat
dengan segara tanpa melalui proses yang sah.
Mana mungkin kita
merubah kaedah tersebut secara tiba-tiba sedangkan undang-undang
tertinggi (Perlembagaan) jelas memberikan panduan tentang perkara
tersebut?
Selain itu, peralihan SPR daripada Jabatan Perdana
Menteri kepada Jawatankuasa Khas Parlimen juga sebenarnya adalah kerja
‘mee segera’ dan ia sebenarnya tidak akan memberi kesan bagi
meningkatkan kepercayaan rakyat.
Malah, kepercayaan rakyat
terhadap kredibiliti dan integriti SPR juga tidak akan berubah sekiranya
tidak ditubuhkan badan yang bebas secara total. Badan ini memerlukan
suruhanjaya bebas yang mempunyai kuasa yang lebih tinggi.
Wajar
sekiranya model bebas dikaji semula untuk mengembalikan kepercayaan
rakyat terhadap SPR. Kita harus melihat bahawa badan ini sebenarnya
ibarat badan kehakiman yang harus bebas daripada sebarang campur tangan.
Penubuhan
suruhanjaya diraja mungkin salah satu kaedah yang baik seperti yang
dicanangkan oleh bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
Pindaan
perlembagaan bagi mengubah cara perlantikan anggota SPR juga boleh
difikirkan bagi memastikan kebebasan badan itu kemudian hari. Ini adalah
perkara yang ahli politik harus fikir dan bincangkan.
Sekiranya
SPR melibatkan orang politik atau ahli parlimen, saya percaya ia tidak
akan berkesan sama sekali. Perubahan haruslah dilaksanakan secara
holistik bagi memastikan integriti dan maruah SPR kembali pulih.
Penulis merupakan mahasiswa undang-undang UiTM Shah Alam dan pemimpin Mahasiswa Melayu Progresif (MMP).