DenyutReformasi

Kebalkah Khairy Jamaluddin?

Oleh Yusuf Harun
SELEPAS menganggotai kerajaan pasca PRU13, populariti Khairy Jamaluddin atau ringkasnya KJ sebagai seorang menteri kabinet  jauh lebih popular berbanding populariti beliau selaku Ketua Pergerakan Pemuda Umno.


Tindakan tegas, kebolehan membuat keputusan tanpa teragak-agak, dan budaya berorientasikan penyelesaian masalah dengan seberapa segera membolehkan menantu mantan perdana menteri ini diterima oleh rakyat, termasuk pembangkang.


Tidak sampai setahun menjadi menteri yang bertanggungjawab ke atas hal sukan negara, segala  tuduhan penyelewengan oleh pembangkang atau di kalangan orang Umno sendiri seolah-olah sudah boleh dilupakan.

Begitu pun, menjelang pemilihan pucuk pimpinan Umno kali ini, KJ sudah pun mempelajari pengajaran, populariti dalam kerajaan tidak semestinya dapat diterjemah dan dipergunakan untuk memperoleh populariti dalam parti.
KJ dan penyokong serta peminatnya tentu berkeyakinan kedudukan selaku ketua Pemuda tidak akan ditentang berdasarkan track record yang boleh dikatakan jauh lebih cemerlang berbanding beberapa penyandang terdahulu.
Namun, jangkaan seperti itu, setakat ini agak meleset bagi Khairy. Ahli Parlimen Rembau ini terpaksa menerima hakikat, laluannya kali ini tidak semudah itu. Ceritanya mungkin berlainan andai kata Pak Lah masih menjadi perdana menteri.
Suka atau tidak KJ terpaksa menerima takdir politik ditentang oleh sesiapa untuk jawatan ketua Pemuda yang disandangnya. Sejauh ini, nampaknya beliau bakal ditentang oleh, sama ada Akram Shah Sanusi atau pencabar satu lagi, Razman Hakimi Abdullah.

Apa yang pasti kalau anak Tan Sri Sanusi Junid, bekas Setiausaha Agung Umno menarik diri pada 21 September ini, Razman pula nekad meneruskan rancangannya.
Bagaimanapun walau apa yang tersirat adalah terlalu awal bagi kita membuat sebarang ramalan perjalanan karier politik KJ, namun satu hal yang nyata setakat ini bintang politiknya dilihat kembali cerah. Belum pun capai usia 40 tahun, KJ sudah menjadi ikon kalangan orang-orang muda macam Anwar Ibrahim ketika memimpin Abim.

Walaupun Anwar juga menjadi ketua Pemuda selepas setahun jagung berada dalam Umno, tetapi cerita Anwar tak sama dengan cerita Khairy.
KJ bermula dalam Pergerakan Pemuda Umno sebelum dipilih sebagai naib ketuanya semasa Pak Lah menjadi PM. Sedikit sebanyak tempias pengaruh Pak Lah membantu KJ pada awal kariernya. Sebagai menantu dan pegawai khas PM pula, KJ dibayangi limelight macam Rafizi Ramli, tokoh muda pembangkang sekarang.
 KJ menjadi perhatian umum apabila dikritik kerana dilihat menyalahgunakan kuasa khusus mengenai peranannya sebagai penasihat di tingkat 4. Beliau dituduh mencatur pelbagai peluang, khususnya peluang perniagaan dan kenaikan pangkat melibatkan rakan-rakannya.
Justeru, kesan akibat serangan bertubi-tubi terhadap kepimpinan Pak Lah ialah KJ yang terpaksa melepaskan jawatan itu.
KJ bernasib baik memenangi jawatan ketua Pemuda yang dikosongkan Hishammuddin Hussein pada 2009 mengalahkan Mukhriz Mahathir dan Khir Toyo. Namun, walau bergelar YB, KJ sekadar berperanan dan bertaraf backbencher di Parlimen. Sepanjang 2009-2013, KJ melihat naib ketuanya Razali Ibrahim dan Mukhriz yang dikalahkannya dilantik timbalan menteri.
Semua ini mula berubah selepas PRU13 pada 5 Mei lalu. KJ yang berjaya mempertahan kerusi Parlimen Rembau bagi penggal kedua dilantik Najib Razak sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Mungkin cabaran daripada dua tokoh pemuda yang disebut sebelum ini adalah ‘kacang’ bagi KJ. Tetapi tidak dengan Mukhriz yang kini bergelar YAB. Anak seorang lagi mantan PM ini dikatakan akan memberikan saingan serta berkemungkinan kecundang di tangannya jika beliau menerima pencalonan dan bersetuju untuk bertanding.
Justeru, tidak hairan sekiranya sudah ada cakap-cakap dan tulisan dalam blog menasihatkan agar Akram ‘main jauh-jauh’ buat ketika ini. Akram dikatakan masih mempunyai peluang pada masa hadapan dan perlu sedar bahawa dalam dunia politik, sekadar ijazah dari universiti terbaik di dunia tidak menjamin apa-apa.

Akram memiliki ijazah Kejuruteraan Kimia dari Imperial College, London, iaitu institusi pengajian tinggi bagi bidang kejuruteraan antara terbaik dunia.
Begitu pun soal Akram kurang hebat untuk berdepan KJ yang punyai segala-gala adalah soal tafsiran. Untuk rekod, puak Dr Mahathir masih simpan dendam pada KJ akibat dosa-dosa lama.

Dengan ini ia mungkin memberi kelebihan kepada Akram mendapat sokongan saki-baki pengaruh puak-puak yang menyokong Dr Mahathir, lebih-lebih lagi mengambil sentimen semangat “kekedahan” dan hubungan Sanusi-Dr Mahathir.

Justeru, apabila faktor bapa, faktor Mukhriz, faktor pengaruh Dr Mahathir dan faktor lain diambil kira, timbul persoalan apakah KJ kebal untuk diturunkan dari kerusi Ketua Pergerakan Pemuda Umno?.S/H