Oleh Anas Alam Faizli
“Tiada sesiapa pun yang benar-benar mengenali sebuah negara itu sehinggalah dia pernah berada di dalam penjaranya. Sesebuah
negara itu tidak wajar diadili dengan cara layanan kepada warga
atasannya, tetapi layanannya kepada warga bawahannya.” (Nelson Mandela)
Ketika remaja, saya sering menyelak helaian koleksi
keratan akhbar lama milik abah. Salah satunya yang sering diingati
ialah helaian akhbar tahun 1982 mengenai seorang personaliti bernama
Anwar Ibrahim yang diumumkan bakal menyertai Umno.
Majoriti
kalangan sahabat terdekat dan pengikut Anwar ketika itu, melihat beliau
sebagai harapan mereka; susuk pemimpin masa hadapan yang mampu
memberikan cabaran besar kepada kerajaan. Maka, tindakan beliau
menyertai Umno tidak diterima umum; termasuklah emak, yang merupakan
seorang ahli JIM.
Tahun 1996, sewaktu Anwar membentangkan bajet di
Parlimen - suatu acara tahunan ditunggu-tunggu, kerana sinonimnya
dengan Anwar memperkenalkan perkataan baru - kelihatan terdapat
tanda-tanda di wajahnya. Emak berseloroh, “ Baru nak matang lah tu...”
Mungkin, perasaan tidak puas hati masih kekal sehingga saat itu.
Tidak lama kemudian berlakulah krisis kewangan yang menggoncang
ekonomi Asia Tenggara, tatkala Anwar berada di puncak kerjayanya di
dalam kerajaan sehingga memangku jawatan Perdana Menteri. Dalam era
yang sama, akhbar melaporkan usaha beliau menentang kronisme dan
rasuah. Emak dan abah menyatakan firasat mereka bahawa Anwar akan
‘kena’ tidak lama lagi. Saya tidak dapat menangkap maksud mereka
sehinggalah peristiwa 2 September 1998.
Detik demi detik
peristiwa itu saya saksikan di kaca televisyen dari kampus di selatan
tanah air. Saat itu tidak dapat dilupakan; terduduk keliru cuba
menenangkan fikiran dan memahami kekacauan yang sedang berlaku. Sejak
itu, laporan berita dan perkembangan kes tuduhan Anwar menjadi urusan
harian. Kata-kata masyhurnya: “Ini adalah konspirasi dan fitnah jahat
untuk membunuh karier politik saya” bergema di dalam minda setiap hari.
Kemuncaknya ialah pada hari bersejarah, Ahad, 20hb September 1998, di
mana demonstrasi terbesar dalam sejarah Malaysia berlaku di Dataran
Mereka, di bawah lembayung reformasi. Rakyat yang berkumpul di Masjid
Negara untuk mendengar ucapan reformasi oleh Anwar, berarak ke Dataran
Merdeka untuk ucapan seterusnya, beralih ke Jalan Raja Laut dan akhirnya
menamatkan perarakan di persimpangan jalan menuju Parlimen. Di situ
juga gas pemedih mata dilepaskan.
Ketika itu, saya menyaksikan
sendiri tenaga dan keyakinan rakyat dalam perhimpunan itu yang boleh
disamakan dengan negara jiran kita. Hanya lima bulan sebelum itu,
rakyat Indonesia menjatuhkan Presiden Soeharto. Malaysia tidak pernah
menyaksikan manifestasi ketegasan yang sebegini. Tetapi perkara penting
yang perlu diakui ialah ia bukan kerana Anwar. Reformasi ialah satu
gerakan massa menentang kezaliman. Jika ia mampu dan boleh bertindak
kejam kepada nombor dua paling berkuasa, bagaimanakah pula nasib rakyat
biasa?
Ramai personaliti lain juga turut ditangkap di bawah
undang-undang zalim ISA selepas itu. Melihatkan ketidakadilan yang
berleluasa, Allahyarham Fadzil Noor kemudiannya mengetuai Gerak yang
terdiri daripada pakatan parti politik dan NGO. Antara aktiviti awal
Gerak ialah mengadakan protes besar-besaran untuk membebaskan Anwar.
Gerakan reformasi yang asalnya tertubuh khas untuk membebaskan Anwar,
kemudiannya memperolehi momentum dan berevolusi menjadi satu gerakan
kerakyatan menentang ketidakadilan.
Reformasi terus bergerak
menjadi sesuatu yang lebih besar, daripada pelbagai sudut. Salah satu
perubahan yang berlaku ialah, penyatuan semua parti pembangkang, NGO
dan gerakan Islam sebagai suatu penyatuan yang jitu dan tidak dapat
diketepikan. Sebuah perpaduan, yang impaknya tidak pernah disaksikan
sebelum ini. Kendatipun wujud perbezaan yang ketara, parti pembangkang
menyedari wujudnya nilai bersama yang dijunjung bersama yakni keadilan
dan kebebasan. Perjuangan ini dipegang sepenuh keringat dan
diperjuangkan sepenuh jiwa.
Kesedaran ini berkuasa menyatukan
dan mengubah senario politik dan wajah Malaysia secara umum. Lantaran
itu, pejuang rakyat daripada PRM, ABIM, JIM dan mereka yang
meninggalkan Umno membentuk Adil, sebuah NGO yang kemudiannya menjadi
Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kita kenali sekarang.
Lantaran itu, kita disedarkan betapa luas, dalam dan melampaunya
struktur kuasa dan pengaruh kerajaan dalam dalam mengawal kuasa polis
negara, media massa dan keseluruhan sistem kehakiman negara.
Malam himpunan bersejarah itu, sepasukan komando bertopeng menyerbu
kediaman peribadi Anwar dan secara kasarnya menahan beliau. Sembilan
hari kemudian, beliau pertama kali muncul dengan mata lebam ditumbuk.
Detik gelap sebuah negara bangsa, Malaysia menyaksikan terbunuhnya
demokrasi.
Apa yang berlaku selepas itu bukan lagi rahsia,
secara kolektif masyarakat mengetahui dan mengikuti butir perbicaraan
dengan minat mendalam. Anwar diletakkan dalam perbicaraan yang penuh
kontroversi - baik daripada segi intepretasi undang-undang mahupun
keadilan moral - disabitkan bersalah, dan dijatuhkan hukuman penjara
sembilan tahun.
Bagaimana seorang yang pernah menjadi orang
nombor dua di Malaysia, dipenjarakan dalam sebuah perbicaraan yang
penuh kontroversi, dibelasah dengan ganas, diraduk emosi dan mentalnya
tanpa perikemanusiaan? Anwar Ibrahim menjadi “prisoner of conscience” Malaysia yang paling kontroversi.
Reformasi
Reformasi menghembuskan nafas baru ke dalam golongan muda Malaysia era
1990-an, ketika semangat belia dan aktivis dilemahkan oleh falsafah
kehidupan golongan muda yang berpandukan kekayaan material dan
hedonisme. Idealisme golongan muda sebelum reformasi bertentangan dengan
golongan muda era 70-an, dengan idealisme perjuangan pro-miskin
pro-rakyat mereka, yang digerakkan budaya intelektual, selari dengan
semangat merdeka, dan sesuai dengan nilai sebuah negara bangsa yang baru
meraih kemerdekaan. Reformasi menjadi sebuah gerakan awam yang
digerakkan oleh rakyat daripada pelbagai latar belakang kehidupan,
aspirasi rakyat yang lahir dengan tiba-tiba, jujur dan mendesak.
Reformasi masih kekal begitu; milik semua orang, sama ada yang
berkecimpung dalam politik atau tidak, sama ada muda atau tua.
15 tahun kemudian, rakyat Malaysia kini boleh dianggap mengalami suatu
proses kematangan politik yang luar biasa dengan menyaksikan peristiwa
Anwar dan reformasi. Kita mewarisi sebuah negara, Malaysia yang sarat
dengan kepelbagaian realiti untuk dihadapi; sistem pilihan raya yang
tidak adil, masyarakat plural yang begitu sensitif dengan identiti
perkauman sempit, kerajaan yang mempunyai kawalan melampau dalam aspek
ekonomi, kehakiman dan sosial sebuah negara, tahap kehidupan yang tidak
seimbang secara demografiknya, di antara banyak hal lain. Bukan mudah
untuk mengubah status quo, mahupun sistem yang tertanam dan diamalkan
selama 50 tahun. Sukar, tetapi bukan mustahil.
Sang pencetus reformasi
Gerakan reformasi sebenarnya dilahirkan melalui pergelutan ramai
personaliti politik, bukan sahaja Anwar. Tanpa mereka reformasi tidak
mungkin menjadi kenyataan. Namun, terlalu ramai yang perlu diiktiraf
sehingga penulis tidak mampu menyenaraikannya tanpa meletakkan keadilan
dalam risiko. Walaupun mungkin ramai yang akan mencapai kesimpulan
mudah itu, artikel ini bukan tentang Anwar Ibrahim. Artikel ini tentang
sang pencetus reformasi.
Sebagai seorang pemimpin pelajar
yang tersohor ketika zaman kuliahnya di UM, Anwar kemudiannya
bersama-sama menubuhkan salah satu organisasi masyarakat sivil terawal
di penghujung 1970-an di Malaysia, dikenali sebagai Angkatan Belia
Islam Malaysia (ABIM). Kecenderungannya untuk mengangkat kepentingan
orang miskin dan terabai, serta kelantangan beliau mengkritik kerajaan
menyebabkan beliau dipenjara 20 bulan di bawah ISA selepas peristiwa
Baling 1974.
Pasca Revolusi Islam Iran 1979, Malaysia turut
merasakan bahang daripada kebangkitan gerakan Islam di peringkat
global. Kita menyaksikan buat kali pertamanya kebangkitan sebuah
organisasi masyarakat sivil berasaskan Islam. Situasi itu menjadi bonus
kepada PAS, yang ketika itu sedang menyambut kepulangan gelombang
besar golongan profesional muda berpendidikan luar negara yang
menyuntik dinamisme baru dalam parti terbabit. Profil parti di kalangan
pengamal undang-undang, para doktor, jurutera dan ahli ekonomi yang
menerima pendidikan di barat meningkat, lantas menjadi salah satu
pencabar utama kepada hegemoni politik Umno.
Anwar Ibrahim
dilihat sebagai penyelesaian terbaik dan bakal waris kepada Tun
Mahathir dan Umno ketika itu; seorang lelaki dilihat dan dikenali
kerana prinsip Islam yang dipegangnya, digabungkan pula dengan
kesarjanaan dan kepetahan beliau dalam disiplin pemikiran dan falsafah
oksidental. Anwar bakal menjadi figura politik yang cukup berpengaruh,
mendaki tangga politik sehingga memegang antara jawatan paling penting
dalam negara; sebagai menteri kewangan dan seterusnya timbalan perdana
menteri. Dikenali dengan sifat tidak pernah beralah terhadap tekanan
korupsi dan sifat tiada tolak ansur kepada kronism, beliau mempunyai
kerjaya politik yang tidak mudah untuk ditumbangkan. Pada bulan
September yang malang itu, musibah besar menghentam jatuh ke atasnya
dalam sebuah saga politik dan ekonomi yang selamanya merobek sejarah
politik Malaysia.
Namun bukanlah semuanya punah dan sia-sia.
Seperti yang pernah diungkapkan oleh seorang pemimpin waktu itu, untuk
membersihkan air kumbahan, hampir mustahil jika kita berenang di
dalamnya; pembersihan hanya boleh dilakukan dari luar. Anwar barangkali
perlu belajar hal itu. Sebuah proses pembelajaran yang tentu sekali
cukup pahit untuk beliau.
Membentuk blok menuju ke zaman baru reformasi
November 1999, Malaysia menyaksikan penyatuan kuasa pembangkang menuju
ke Pilihanraya Umum Ke-10 yang dikenali sebagai Barisan Alternatif.
Untuk pertama kali dalam sejarah, barisan pembangkang memperolehi undi
majoriti Melayu setinggi 54%. Rekod itu tidak pernah dicabar sehingga
hari ini. Barisan Nasional diselamatkan oleh undi orang Cina dan India,
yang mungkin ketika itu tidak bersedia secara politik dan ekonomi untuk
mencabar status quo secara serius.
Menjelang 2004, Barisan
Nasional (BN) mengubah kembali senario dengan sebuah kemenangan besar.
Proses persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dipersoalkan
membolehkan BN memenangi 24 daripada 25 kerusi baru, serta lebih
daripada 90% kerusi parlimen. Persaraan Tun Mahathir, yang mulai
diterima secara besar-besaran waktu itu, juga menarik sokongan baru
kepada Umno dan Barisan Nasional. Ketika itu saya merasakan harapan
menjadi gelap gelita dan seolah-olah perubahan menjadi mustahil.
Era sebelum Pilihanraya Umum 2008 menyaksikan perubahan mendadak.
Pengenalan kepada dasar berdasarkan-keperluan (needs-based) juga menarik
perhatian baru, terutamanya di kalangan bukan-Bumiputera. Dasar itu
bukan sekadar usaha untuk meraih undi, malah kewujudannya memang kena
pada waktunya, memandangkan ketidakadilan menyeluruh yang timbul
daripada polisi pilih kasih, ketirisan dan penyalahgunaan sumber yang
berdekad lamanya di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Anwar juga
sudah bebas, dan mula berusaha gigih menyatukan pelbagai parti demi
membentuk satu pakatan pembangkang yang menggerunkan, dan suara mereka
perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.
Menuju Pilihanraya
2008, gelombang perubahan dirasakan lebih awal. Malah, saya mengambil
cuti tanpa gaji demi pulang ke tanah air ketika tempoh berkempen dan
mengundi, daripada tugasan di luar negara. Pakatan pembangkang
memenangi lima negeri dan membentuk Pakatan Rakyat yang mengandungi
PKR, PAS dan DAP. Seruan untuk perubahan mula menunjukkan taringnya,
raungan rakyat bergema daripada pelbagai latar belakang. Tsunami
politik berlaku.
Kejayaan menjatuhkan kedudukan selesa majoriti
dua-pertiga parlimen yang dipegang oleh parti pemerintah sedia ada
bukan suatu kejayaan mudah. Peristiwa ini memaksa kerajaan melancarkan
pelbagai usaha “transformasi” sebagai sebahagian usaha untuk
mengekalkan pemerintahan. Justeru, kita memasuki satu tahap kemajuan
yang bakal menyaksikan pelbagai perubahan dengan “kemungkinan tanpa
sempadan”. Ya, memang kita sedang membina lebih banyak lebuhraya dan
landasan keretapi. Tetapi yang masih kurang sebenarnya ialah
transformasi politik, dan transformasi nilai asas yang lebih halus,
serta falsafah kita sebagai sebuah masyarakat Malaysia.
Masa
yang sama juga memberikan barisan pembangkang masa untuk menyusun
kembali dan mengatasi perbezaan antara mereka. Bekerjasama secara
produktif membentuk satu pakatan dengan pelan pembangunnya yang
menyeluruh unik, manifestonya yang menjaga kebajikan rakyat dan cadangan
bajetnya yang tersendiri. Buat pertama kalinya, rakyat Malaysia punya
alternatif untuk membandingkan secara kritis dokumen pembangunan dan
belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan.
Binaan ke arah reformasi era baru
Pasca Pilihanraya Umum ke 13 dalam langkah kita menuju ke masa hadapan
bersama-sama, kita bertanya sekali lagi, ke manakah arah tuju kita
selepas ini? Secara semulajadinya, kita terdorong juga kepada
bertanyakan, sama ada Anwar perlu membuka jalan kepada barisan pelapis
mengagumkan terdiri daripada personaliti yang muda dan lebih segar dalam
PKR dan Pakatan Rakyat, yang nyata sudah pun mempunyai kelompok
penyokong tegar mereka sendiri. Adakah jalan ke hadapan kini ialah
sebuah era baru pasca-Anwar Ibrahim, yang bergerak ke arah
penginstitusian dan pemerkasaan sistem politik di peringkat akar umbi?
Struktur yang lebih baik akan membenarkan pembangunan semulajadi
kelompok bakat dan kepimpinan, namun adakah struktur yang utuh sahaja
sudah mencukupi?
Sejarah membuktikan bahawa pemimpin yang hebat
akan menjadi sumber utama perpaduan yang dapat membawa kepada
gelombang perubahan yang mampu menggegarkan institusi atau sistem sedia
ada. Hanya kepimpinan yang disegani dan kukuhlah yang mungkin mampu
mengubah undi orang Melayu seperti yang berlaku pada tahun 1999,
menafikan majoriti dua-pertiga parlimen untuk kerajaan pada tahun 2008,
dan merubah mandat 52% kepada PR pada 2013.
Anwar Ibrahim
juga pada hari ini ialah seorang personaliti yang berbeza. Daripada
seorang pemimpin mahasiswa muda popular, kepada pemimpin Islamik
berkarisma yang disanjung tinggi, seterusnya mendaki tangga politik
sehingga jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, beliau turut pernah
dipenjarakan, dipukul dan dihina. Luka Anwar tidak mungkin hanya
terhad kepada tubuh fizikal. Kebijaksanaan dan kematangan beliau hari
ini tidak mungkin hadir tanpa darah, peluh dan air mata.
Dua
pilihan raya umum berlaku selepas pembebasannya dan Anwar masih
memegang janjinya. Beliau melangkah ke tepi untuk memberi kepada
perkembangan politik PKR. Tetapi hanya ada satu cara untuk menuntut
semula reformasi sehingga menjadi realiti; iaitu dengan beliau menaiki
tangga jawatan presiden parti PKR itu sendiri, untuk membawakan
perubahan yang beliau sendiri nyalakan dan marakkan untuk negara ini 15
tahun lepas. Masanya telah tiba untuk beliau sekali lagi berdiri berani
berhadapan dengan cabaran, memastikan dipilih secara demokratik dan
bangkit semula dengan gah sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat.
Penyatuan dan pembaharuan ini adalah harapan Rakyat Malaysia, untuk
beliau melaksanakan visinya untuk Malaysia, terutama buat khalayak muda
dan pelapisnya.
Anwar Ibrahim ialah pencetus reformasi. Kini,
beliau perlu menghembuskan nafas baru kepada reformasi kita. Reformasi
milik rakyat. – 20 September, 2013.
*Anas Alam Faizli ialah
seorang profesional industri minyak dan gas, sedang menyambung
pengajian peringkat kedoktoran, pengasas bersama Blindspot, Bantah TPPA
dan tweet di @aafaizli.