Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
TIBA masa pemilihan bagi jawatan dalam Umno, setiap pemimpin di pelbagai lapisan mula mencongak kedudukan mereka untuk dipertahan, ataupun untuk ke hadapan bagi mencuba nasib di peringkat yang lebih tinggi.
Umno
dalam sejarahnya telah beberapa kali menghadapi situasi sukar kerana
perebutan jawatan nombor satu khasnya semasa pertikaman antara Tun
DrMahathir Mohamad dengan Tengku Razaleigh Hamzah yang mencetus
perpecahan hingga wujudnya Semangat 46. Begitu juga detik perpecahan
yang dicetuskan oleh Dr Mahathir semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi
menerajui Umno dan Malaysia selepas rekod cemerlang Abdullah dalam
pilihan raya umum 2004, dan diikuti rekod buruk Abdullah pada PRU2008.
Mahathir dalang?
Dr Mahathir menjadi 'dalang' di sebalik jatuhnya Abdullah dengan
kritikan dan serangan tajam yang akhirnya dimanfaatkan Tan Sri Muhyiddin
Yassin yang ketika itu Naib Presiden Umno.
Muhyiddin selepas
kejatuhan Najib mendapat laba dengan menjadi Timbalan Presiden Umno dan
Timbalan Perdana Menteri, sementara Dato' Seri Najib Tun Razak menerajui
Umno hingga kini.
Sebagai 'hadiah' daripada mencetus kejatuhan
Abdullah itu, Mahathir dianugerahkan jawatan 'De Facto Menteri Besar
Kedah' dengan anaknya, Dato' MukHriz Mahathir menerajui Kedah dengan
bayang-bayangnya.
Mahathir juga mencipta retak dalam Umno semasa
krisisnya dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 sehingga
mencapai klimaks dengan adegan 'usung tilam' tuduhan skandal sodomi
pertama.
Ketika itu, Umno berpecah dua dengan beberapa orang
kepercayaan Anwar menuruti langkah Anwar untuk menentang kerajaan
pimpinan Mahathir.
Bagaimanapun menjelang PRU 2008, beberapa
rakan karib dan pengikutnya seperti Ezam Mohd Noor yang setia kembali ke
dalam Umno semula kerana lemas dengan perjuangan menentang Mahathir.
Kemudian, berlaku pelbagai adegan keretakan dalaman Umno termasuk di
peringkat sayapnya dalam pemilihan terutama semasa Khairy Jamaluddin
menentang Mukriz dan Dato' Seri Mohamed Khir Toyo.
Begitu juga
dengan perbalahan dalaman Wanita Umno sejak Tan Sri Rafidah Aziz, dan
kemudian Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil menerajui sayap wanita
itu.Hingga kini perbalahan dan 'adegan tarik rambut' tidak selesai.
Benih keretakan bermula
Kini, benih-benih keretakan kembali bertebaran dalam Umno. Ahli
Parlimen Pulai, Nur Jazlan Mohamed memulakan perang dengan mengatakan
rakyat sudah muak dengan Umno berikutan janji untuk berubah yang
dilafazkan sebelum pilihan raya tetapi tidak ternampak perubahan sebaik
memenangi pilihan raya.
Kenyataan anak kepada bekas Setiausaha
Agung Umno, Allahyarham Tan Sri Mohammad Rahmat ini pandai memasang
jerat dalam merencah ideanya hingga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan,
Dato' Seri Mohammed Nazri Aziz bersetuju dengan pandangan Jazlan bahawa
Umno mesti berubah untuk kekal relevan.
Namun perubahan yang
bagaimana hendak dibayangkan Jazlan sekiranya Umno masih lagi diterajui
oleh pemimpin yang sama tanpa 'mendapat mandat baharu' dalam pemilihan
parti iaitu Najib dan Muhyiddin?
Najib dan Muhyiddin hanya menang
dengan negosiasi selepas Abdullah mengundurkan diri pada tahun 2009,
setelah diganyang teruk oleh Mahathir kerana Umno-BN cedera parah dalam
PRU 2008.
Jazlan sendiri mungkin memiliki impian untuk ke tangga
yang lebih tinggi dalam hierarki Umno kerana beliau sendiri antara yang
lantang dan membawa idea-idea baharu untuk pembaharuan sebuah parti yang
terpalit dengan rasuah dalam pemilihan.
Namun, idea Jazlan
mendapat tentangan oleh sepupu Najib iaitu Menteri Pertahanan dan Naib
Presiden Umno, Dato' Seri Hishammuddin Hussein dan menuduh bahawa
kenyataan itu datang kerana Jazlan mengumumkan mahu bertanding sebagai
Ahli Majlis Tertinggi Umno kali ini.
Apa ada dengan Muhyiddin?
Jazlan barangkali muak dengan sistem yang masih diteruskan Umno kini
dengan mereka yang kalah dan tidak bertanding, namun memiliki kuasa
hingga diberi pula jawatan lain yang bertaraf menteri oleh Najib pasca
PRU13.
Janji peremajaan Umno dan BN serta yang lebih penting
peremajaan negara akhirnya menjadi impian kosong.Kini Jazlan mungkin
tidak keseorangan kerana Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah bisa sahaja
mengintai ruang untuk menentang Najib.
Ditambah lagi orang nombor
dua Umno (Muhyiddin) mempunyai rekod pernah bersama Mahathir dalam
memastikan Abdullah jatuh, pastinya Muhyiddin tidak boleh duduk selesa
hanya dengan menjadi pembantu Najib sampai bila-bila.
Mungkin
Muhyiddin tidak menunjukkan sifatnya kali ini untuk mendepani cabaran
merebut kedudukan tertinggi dalam Umno dan kerajaan, namun angin
sepoisepoi bahasa mula bertiup di telinganya membisikkan 'bila lagi
hendak ke posisi Presiden Umno.’ Muhyiddin juga senior dalam Umno.Beliau
pernah menerajui Johor selaku Menteri Besar, sama seperti Najib yang
pernah menerajui Pahang semasa dipikat Datin Seri Rosmah Mansor untuk
bersama menjadi pasangan hidup.
Sama ada hasrat Muhyiddin akan
terus tersemat dalam hatinya sehingga ada 'pemecah' yang akan memecahkan
kebuntuannya sebagai 'kelindan' Najib, Muhyiddin juga mungkin memasang
strategi yang akan terluah oleh merekamereka yang bersama dengannya
untuk memulakan perang dalaman.
Seorang rakan dalam Umno
menyebut, sekiranya Muhyiddin berani untuk bersuara bagi mencabar
kedudukan Presiden, beliau yakin akan ada sokongan untuknya termasuk
daripada Mahathir sendiri.
Dalam adegan ini, sikap Jazlan
mengkritik Umno boleh menjadi rujukan kepada Muhyiddin dalam konteks
lain iaitu menegur Najib dalam setiap geraknya.
Namun, sejauh
mana Muhyiddin memiliki keberanian dengan azam untuk mencapai 'climaks'
dalam persaingan politiknya beliau mungkin sekali harus berkira- kira
dalam pemilihan kali ini sebelum Umno karam dalam PRU14 atau memuncakkan
rasa muak rakyat.